3.10.10

MODEL BARU EKONOMI (MBE): TERJAMINKAH HAK MELAYU?

Apakhabar semua,
Apakhabar Malaysia,
Masih beraya lagi? Teruskan kunjungan anda.Rumah terbuka sana-sini.Sibuk dalam kesibukan.
Pagi-pagi saya melihat akhbar-akhbar utama.Isu Melayu dan MBE.Apa MBE tu?Macam no plat kenderaan di negeri Melaka je nampaknya.
MBE=Model Baru Ekonomi.
Ada 12 perkara penting perlu anda tahu dalam MBE tu.Sesetengah orang risau kalau kalau MBE mengenepikan Melayu, meminggirkan Melayu lantas menyingkirkan Melayu dari arus kepesatan ekonomi Malaysia tercinta ini. Bagi merungkai kerisauan tersebut pemimpin harapan masa depan iaitu TPM kita ada jawapan mengenainya.Ada berita gembira tentangnya.Utusan Online memuatkan berita dan cerita itu.

Jom Baca.

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Orang Melayu dan bumiputera tidak perlu khuatir dengan kedudukan hak mereka dalam Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia akan terus dilindungi, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ia tidak dihuraikan secara terperinci, terangkum di dalam model berkenaan adalah aspek penyertaan usahawan Melayu dan bumiputera.
Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera juga sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa kerajaan menjadikan perkara berkenaan satu komitmen.
"Saya sendiri menerima maklum balas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pengusaha bumiputera yang melawat dari satu galeri ke satu galeri pada hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini dan mereka bertanya di mana agenda bumiputera?
"Pastinya kita tidak jelaskan itu tapi tanpa menghuraikannya satu persatu (sekalipun), pastinya pimpinan ekonomi Melayu tahu bahawa penglibatan bumiputera dalam MBE telah menjadi komitmen yang dinyatakan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay, Presiden DPMM, Syed Ali Al Attas dan Timbalannya, Datuk Muhammad Alayuddin.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan makmal 'Agenda Melayu' oleh DPMM sebagaimana diumumkan oleh Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya.
Beliau yakin inisiatif DPMM itu selari dengan kehendak pimpinan kerajaan yang mahu memastikan dasar afirmatif terhadap orang Melayu dan bumiputera kekal dalam MBE.
Beliau berkata, apa yang lebih penting pimpinan DPMM boleh membantu kerajaan menterjemahkan hasrat berkenaan secara terperinci.
"Sebab itu kita mahu pengusaha bumiputera berganding bahu mengambil ini (MBE) sebagai satu tawaran dan bukan sebagai cabaran.
"Melaluinya, kita berpeluang meneliti secara dekat bagaimana masyarakat bumiputera boleh terlibat dalam 12 NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) yang telah dikenal pasti," katanya.
NKEA yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) adalah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya membabitkan sektor industri dan satu - Greater Kuala Lumpur - adalah kawasan geografi.


Melayu Boleh!

Jumpa lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan