21.1.12

SELANGOR LANTIK PENGGANTI DR HASSAN ALI


Kata Tan Sri Khalid: "A good manager must select a right person"

9.1.12

Anwar Ibrahim dibebaskan

Pagi kira-kira jam 10 pagi heboh sana sini seluruh negara.
Berita sensasi
Anwar Ibrahim mendapat penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dibebaskan serta dilepaskan dari tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.
Pelbagai media membuat ulasan dan liputan:-




Walau bagaimanapun masih ada lagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan
Sama-sama kita nantikan kesudahan episod mantan TPM ini....



3.1.12

PEMERGIAN DATO SALLEH MAJID SATU KEHILANGAN- ALFATIHAH

Berita pemergian Dato Salleh Majid pada 02 Januari 2012 mengejutkan saya. Disebalik kesibukan membeli peralatan sekolah anak-anak dan bercuti ganti sempena tahun baru, berita tersebut menyedihkan sekali. Dato Salleh Majid bekas Presiden Bursa Malaysia yg dulunya disebut BSKL adalah antara tokoh ekonomi melayu yang faham tentang sepak terajang dan realiti kehidupan melayu khususnya dalam penguasaan kek ekonomi negara. Pandangan,curahan idea dan kupasan pelbagai isu telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan Saranan Salleh. Ruangan tersebut telah menjadi salah satu link pilihan di blog ini sejak saya mula berblog dua tahun yang lalu.
Mungkin ada yang mengatakan pemergian Salleh pasti ada pengganti umpama patah tumbuh hilang berganti. Pemergian menemui illahi adalah takdir yang pasti. Saban hari sahabat,rakan dan kenalan kita pasti akan pergi.
Apapun bagi saya pemergian salleh suatu kehilangan kerana tidak ramai tokoh ekonomi melayu yang berjaya dalam perniagaan atau pun berjaya mengurus syarikat awam/korporat  yang rajin mencurahkan idea melalui tulisan apatah lagi membukukan idea untuk tatapan orang lain dan generasi masa depan.

Sama-sama kita doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
Al Fatihah...

1.1.12

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Selamat tahun baru 2012.
Awal tahun baru, semuanya nak baru.
Azam baru.
Ada yang berpindah rumah baru.
Ada yang menjadi pengantin baru.
Tahun baru, sekolah dibuka semula.
Buka sekolah baju,kasut,beg,pencil case nak baru.
Ibu bapa tergaru-garu.
Banyak duit nak kena belanja beli barang sekolah.
2012 tahun penting...
PRU 13 diramalkan pada 2012
Bekas MB Selangor mungkin ke penjara..
Ketua pembangkang akan mengetahui nasibnya juga pada 2012 bulan januari tanggal 09.
Demam PRU semakin membahang..
Anda dah daftar undi ke? Undilah ikut pertimbangan masing-masing..
Yang tulus harus dipilih
Yang boros harus disisih
Kuasa di tangan anda
Jangan cakap je
Undi
Undi

Bagi saya 2012 tahun yang sangat berat cabarannya
Cabaran di tempat kerja
Bajet atau sasaran kerja yang bakal diterima dijangka amat tinggi
Mahu tak mahu cabaran itu perlu digalas
Kadang-kadang menyesal juga memilih kerjaya sekarang
Ramai kawan-kawan disekolah dulu yang kini bekerja jauh lebih senang tugasnya berbanding saya
Gaji mereka sesetengahnya lebih tinggi walaupun masa sekolah dulu markah mereka lebih rendah dari saya
Adakah dunia ini tidak adil
Kejamkah kehidupan ini
Apapun hidup perlu diteruskan
Cabaran perlu ditangani
Boleh
Pasti Boleh
Yakin Boleh
Malaysia Boleh
Boleh apa????????????
Apa yang boleh
Terpaksa atau dipaksa
Wajarkah kita tinggalkan mereka yang kejam itu.....................................................




5.12.11

PUNCAK ARABELLA,STRAWBERI DAN TEH

Suhu sejuk sekali. Hujan renyai-renyai di puncak ini. Percutian diteruskan. Bangun pagi bersiap untuk bersarapan pagi. Pusing dan tinjau warung makanan di sekitar tanah rata. Ada sebuah warung berdekatan Agrobank di Tanah Rata. Ramai orang minum minum di situ.
Selepas sarapan kami ronda seharian di tanah tinggi ini. Habis semua lokasi diredah dan diterjah. Dari Rose Valley, Gerai-gerai strawberi hingga ke ladang Teh di Sg Palas. Cantik sekali pemandangan dan di sana sini. Banyak bangunan baru telah di bina berbanding 7 tahun dahulu. Apartment-apartment, rumah kedai tumbuh di sana sini.Peniaga bertambah ramai. Ada juga peniaga di kalangan orang kita tetapi kebanyakkannya menjual makanan di gerai dan warung tepi jalan.
Ramai juga warga asing di sini. Mungkin mereka adalah pelancong asing. Mungkin juga pekerja di ladang-ladang teh, ladang sayuran, ladang bunga dan penjual durian di tepi jalan.
Petang jam 1.00 menuju ke Tringkap.Turun dari puncak . Menuju ke arah Lojing untuk pulang ke kampung di Terengganu....

4.12.11

MENUJU PUNCAK ARABELLA

Cuti sekolah anak-anak dan isteri sibuk ajak berjalan.
Bercuti.
Anak sulong lepas periksa SPM menagih janji berehat panjang selepas penat memerah otak dan belajar di masa masa kecederaan sebelum periksa SPM tempohari.
Ke mana bercuti kali ni? Dalam negeri atau luar negeri.Cuti terhad kerana majikan tak galakkan cuti lama di hujung tahun.Kerja dan terus kerja.Kejar dan teruslah kejar bajet tu.Jaga KPI.Nanti bonus miss.Jadi cuti terhad. Untuk ke luar negeri kurang sesuai.Kelam kabut nanti jadinya.Hati majikan perlu dijaga.Nak cuti lama-lama nanti pasti ada yang masam muka.Apa nak buat.Itulah adat makan gaji.Banyak hati yang perlu dijaga.
Akhirnya jalan-jalan cuti di dalam negeri. Nak ke mana ni. Entah. Banyak tempat dah pegi. Apa kata kita ikut jalan baru yang kita tak pernah lalu. Ke mana kita?
Search internet di pagi Ahad 04 Dis. Tengok-tengok jengok jengok.Nampak satu tempat bernama PUNCAK ARABELLA.Ya kita ke sana. Jam 9.00 pagi masih di Johor. Cari rumah penginapan di mudah.my. Lokasi PUNCAK ARABELLA. Call pemilik sebuah homestay. Ada kosong malam ni. Ok jadi booking. Terus mengemas dan berkemas. Cepat-cepat nanti lambat. Ni musim hujan. Silap haribulan banjir. Banjir kilat macam di Kajang hari tu boleh berlaku!
MPV made in Malaysia terus memecut melalui jalan Endau-Rompin-Muadzam. Jumpa LPT terus menuju ke arah Kuala Lumpur. Pertama kali lalu di sini. Ok juga highway ni. Dah siap lama dan banyak kereta lalu lalang. Pemandangan boleh tahan. Bukit bukau gunong ganang di belah oleh kami sekeluarga. Macam jalan dalam video game kata anak saya yang kecil. Ilusinya selama ini ternyata menjadi realiti.
Lapar haus campur tak tahu jalan .Perlu berhenti tanya orang tentang jalan seterusnya. Berhenti di R&R Gambang. Makan dan Minum. Harga OK dan rasa pun boleh tahan. Mungkin sebab harga kawalan di R&R.
Teruskan perjalanan melalui kawasan Felda. Terus dan terus lagi.Jumpa kawasan tak pernah kami lalui. Lancang, Termerloh,  Srijaya. Exit ke Raub. Jauh lagi rupanya bandar Raub. Terus lagi melalui jalan Felda Mempaga. Hujan renyai-renyai. Jumpa Felda Lurah Bilut.Ya nama Lurah Bilut kalau tak silap nama sebuah filem. Lurah Bilut antara kawasan Felda terawal.
Akhirnya sampai di bandar Raub. Pertama kali sampai. Agak sepi bandar ni mungkin sebab dah jam 7 malam. Terus lagi. Hari makin gelap. Betul ke jalan ni. Sunyi je.Ternampak sebuah kedai runcit. Berhenti tanya jalan pada tuan kedai. Nak ke puncak Encik terus lagi sampai jumpa Sg Koyan. Tempat ni nama apa pakcik. Ini Batu Talam.  Macam pernah dengar tempat ni. Dulu pernah gempar satu Malaya. Ingat kes Mona Fendy.
Jalan terus lagi. Berjumpa Felda Sg Koyan. Ya dah dekat tu. Tanya pak cik di shell Sg Koyan jalan ke puncak. Encik belok kiri melalui Pos Betau terus dalam sejam sampailah puncak.Tapi jalan tu belum diwartakan. Boleh lalu. Hati-hati dah malam ni. Hujan renyai dah mula turun.
Terus memecut. Alamak gelap. Tak ada lampu jalan ke rungut isteri saya. Belum gazet lagi jalan ni sebab tu tak ada lampu. Tapi banyak kereta lalu di sini. Turun dari puncak. Khabarnya jalan ni dah lama siap. Bila nak gazet. Mungkin adalah yang ditunggu tu. Atau masa untuk gazet belum sesuai. Mungkin tunggu saya jadi YB sini ke. Impossible. Saya bukan orang sini. Juga bukan winnable candidate. Politic is not my business. Now. Esok lusa belum tahu.
9.30 malam sampai di Ringlet. Call tuan homestay. Encik terus ke Tanah Rata. Terus memecut lagi. Sampai Tanah Rata jumpa simpang pertama belok ke kanan menuju Hospital. Belok. Nampak sign board PUNCAK ARABELLA. Terus naik. Tinggi. Tukar gear 2, 3 dan L. Dapat naik atas. Sampai. Call tuan rumah. Nak ambil kunci. Kejap lagi katanya. Beliau terperangkap di jalan Brincang sebab ada Pasar Malam di sana. Sibuk puncak ni di musim cuti.
10.00 malam ambil kunci. Check In. Bayar sewa dua malam sebab dapat special diskaun dari tuan rumah. Dah sampai. Lega. Masuk bilik buka tingkap. Sejuk sekali puncak ini. Kali terakhir ke sini tahun 2004. Masa tu PUNCAK ARABELLA masih hutan tebal. Hanya siap dan diresmikan apartment ni tahun 2010. Cantik dan sejuk. Semua siap nak pergi makan sebab dah lapar. Dah makan terus balik.
Tidur.
Lena di PUNCAK ARABELLA.

Jumpa lagi perjalanan turun dari PUNCAK ARABELLA nanti............


3.12.11

MANUSIA DAN HUTANG

Hutang Kawan Jadi Lawan 
Hutang Kedai Sampai Gadai
Hutang Kawin Tok Kadhi Jadi Saksi..............

Itu adalah antara senikata sebuah lagu lama yang agak popular suatu waktu dahulu. Saya terlupa nama penyanyinya kerana lagu tersebut telah lama tidak berkumandang di udara.
Pasti liriknya ditulis berdasarkan pengalaman dan kisah mengenai hutang-hutang tertunggak oleh kawan-kawan dan para kenalan.

Manusia dan hutang sememangnya tidak dapat dipisahkan umpama remaja dengan handphone. Hutang adalah keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup masakini.Tanpa hutang kita akan kelihatan tidak punya apa-apa kerana memiliki sesuatu melalui bayaran tunai memakan masa yang agak lama untuk kita menabung dan menghimpun wang dari pendapatan bulanan.Hutang Persekolahan/Pelajaran, Hutang rumah. Hutang kereta. Hutang perabot. Hutang barangan elektrik. Hutang kenduri kahwin atau mengahwinkan anak.Hutang kad kredit. Itu adalah beberapa jenis hutang yang membelenggu manusia.
Dari siapa mereka berhutang? Bank, kawan kawan, kenalan, sanak saudara, Along?
Yang penting setiap hutang perlu dibayar.Ada hadis nabi yang menyatakan roh seseorang itu tergantung selagi hutangnya tidak dijelaskan.
Melambat-lambatkan membayar hutang merupakan sifat yang kurang baik. Jika hutang dengan bank, nama anda bakal disenarai hitamkan dan anda akan sukar memohon pinjaman dari mana-mana bank kerana sistem CCRIS telah merekodkan hutang anda.
Jika hutang dengan along, anda akan dihukum semahu-mahunya sehinggalah hutang dijelaskan. Jika hutang dengan kawan kawan akhirnya mereka akan menjadi lawan dan kita akan kehilangan kawan kawan. Akhirnya kita menjadi kera sumbang dan tidak berani berada di khalayak ramai. Kita takut nak mengangkat panggilan telefon.Ipar duai  dan sanak saudara bermasam muka, tidak bertegur sapa malah tak berkunjung di hari raya gara-gara hutang tertunggak yang telah lapuk.
Oleh itu andainya anda masih berhutang bayarlah segera mengikut jadual atau janji anda kepada pemberi hutang. Ingatlah ketika jenazah ingin di bawa dari rumah ke pusara biasanya pengumuman tentang tuntutan hutang akan diumumkan oleh wakil keluarga simati.
Bayarlah hutang anda agar anda tidak menyusahkan insan lain di mukabumi ini.


Salam maal hijrah
abangms

26.11.11

Selamat menyambut maal hijrah 1433.

Semoga anda semua berhijrah ke arah yang lebih baik.


Hijrah memerlukan azam dan tekad.Ianya tidak memberi apa-apa makna jika sekadar retorik sahaja dengan hanya disebut di sana-sini di laman-laman sesawang dan laman sosial .
Hijrah perlu dihayati sebagaimana hijrahnya nabi muhammad saw dari mekah ke madinah untuk menyebarkan dakwah dan syiar islam ketika itu.
Kita berharap masyarakat malaysia dari segnap lapisan dari rakayat marhaen hinggalah peringkat pemimpin negara dan para ulil amri berhijrah kepada yang lebih baik.

jumpa lagi

30.8.11

salam aidilfitri

saya mengucapkan salam aidilfitri maaf zahir batin kepada semua para pengunjung blog ini.

Jumpa lagi

1.8.11

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan kepada seluruh umat islam khususnya pengunjung blog ini.
Semoga ramadhan kali ini memberi lebih keinsafan dan ketakwaan kepada anda semua.
Salam Perjuangan