ALMOND LONDON
SEMPERIT
Hari ini dah 19 hari kita berpuasa. Cuti ahad ni sangat sibuk sekali. Suasana dari kawasan bandar hingga pekan-pekan kecil sesak. Ibu-ibu, kakak-kakak, makcik-makcik sibuk ke sana sini. Masing-masing cari bahan-bahan untuk membuat kuih raya.Maklumlah lagi 10 hari lagi kita nak beraya. Persiapan terutamanya kuih raya adalah suatu kemestian sejak zaman berzaman..Dari zaman kuih semperit hingga zaman almond london.
Masa saya kecik-kecik dulu saya cukup suka tengok kakak-kakak saya membuat kuih raya. Biasanya waktu macam nilah iaitu kurang 10 hari nak sambut hari raya mereka mula sibuk membeli bahan-bahan kuih, menjemur tepung dan mencari kayu api serta sabut dan tempurung kelapa untuk persiapan membuat kuih raya.Semuanya hand made.Buat dengan tangan. Original kata orang sekarang. Bukan kuih buatan kilang.
Antara kuih yang terkenal masa dulu ialah tempeyek, kuih dahlia (ada manik di tengahnya), kerepek pisang, kerepek ubi, kuih goyang, bahulu gulung, tat nenas, kuih bangkit, dodol dan satu kuih ni yang sukar saya lupakan ialah kuih semperit. Sukar saya lupakan hingga ke hari ini kerana semasa kecik dulu saya sukar nak sebut nama semperit tu.Jadi bila dapat sebut dan mengingatkan nama semperit saya terus mengingatinya hingga sekarang. Saya tanya pada anak saya pernah dengar tak kuih semperit, anak-anak saya tertawa mendengar soalan itu...jawap mereka semperit tak pernah dengarlah bah..kalau sembelit tu selalulah kata mereka sambil tertawa panjang tanda gelihati yang teramat sangat.
Tapi bila saya tanya pernah tak dengar kuih almond london, kelima-lima anak saya jawap pernah dan boleh terangkan kuih tu ada almond di dalamnya, berwarna coklat, cantik dan nampak macam kuih-kuih orang kaya kata anak perempuan saya yang darjah empat.
Itulah perubahan waktu,
Peredaran zaman.
Pendekatan kita terhadap semua perkara juga perlu berubah. Persekitaran diluar sana telah berubah. Majikan tidak boleh lagi melayan pekerja sesedap rasa. Orang gaji tidak boleh lagi dilayan seperti hamba abdi. Mereka juga adalah manusia seperti kita. Makhluk tuhan di mukabumi. Tuntuan pekerja masakini sangat pelbagai. Keadilan, hak asasi, pembelaan, gaji minima, bonus setimpal, kenaikan pangkat yang adil, tiada pilih kasih, tiada kronisma, tiada penindasan itulah adalah antara isu-isu golongan pekerja yang perlu di tangani oleh majikan dengan baik.
Mahasiswa tidak mahu lagi dikongkong. Mereka minta hak berpolitik. Rakyat minta dilayan dengan adil dan saksama oleh pemerintah. Demokrasi bukan konspirasi. Profesional bukan emosional. Itu semua perlu diberi perhatian kerana zaman ini bukan lagi zaman kuih semperit. Ya zaman almond london.
Beberapa tahun kebelakangan ini saya dan isteri sangat sibuk dengan kerja. KADANG KADANG je membuat kuih raya. Bukan bermakna rumah kami tidak berkuih raya. Tapi kuih dah siap. Kuih segera. KUIH TUNJUK (istilah anak dara sekarang). Kuih tunjuk bang. Maknanya kuih yang dibeli dah siap samada yang dibeli di pasaraya, bazar ramadhan atau ditempah dari rakan sepejabat yang menjadi usahawan bermusim, jual sembunyi-sembunyi khuatir dilihat ketua jabatan....
Apa pun jika anda makan almond london jangan dilupa kuih semperit, tempeyek, dodol dan kuih bangkit. Kata orang ....yang baru di sayangi yang lama dikasihi.
Selamat membuat kuih raya....
Kuih beli KADANG KADANG lebih sedap dari kuih buatan sendiri...............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan