5.12.11

PUNCAK ARABELLA,STRAWBERI DAN TEH

Suhu sejuk sekali. Hujan renyai-renyai di puncak ini. Percutian diteruskan. Bangun pagi bersiap untuk bersarapan pagi. Pusing dan tinjau warung makanan di sekitar tanah rata. Ada sebuah warung berdekatan Agrobank di Tanah Rata. Ramai orang minum minum di situ.
Selepas sarapan kami ronda seharian di tanah tinggi ini. Habis semua lokasi diredah dan diterjah. Dari Rose Valley, Gerai-gerai strawberi hingga ke ladang Teh di Sg Palas. Cantik sekali pemandangan dan di sana sini. Banyak bangunan baru telah di bina berbanding 7 tahun dahulu. Apartment-apartment, rumah kedai tumbuh di sana sini.Peniaga bertambah ramai. Ada juga peniaga di kalangan orang kita tetapi kebanyakkannya menjual makanan di gerai dan warung tepi jalan.
Ramai juga warga asing di sini. Mungkin mereka adalah pelancong asing. Mungkin juga pekerja di ladang-ladang teh, ladang sayuran, ladang bunga dan penjual durian di tepi jalan.
Petang jam 1.00 menuju ke Tringkap.Turun dari puncak . Menuju ke arah Lojing untuk pulang ke kampung di Terengganu....

4.12.11

MENUJU PUNCAK ARABELLA

Cuti sekolah anak-anak dan isteri sibuk ajak berjalan.
Bercuti.
Anak sulong lepas periksa SPM menagih janji berehat panjang selepas penat memerah otak dan belajar di masa masa kecederaan sebelum periksa SPM tempohari.
Ke mana bercuti kali ni? Dalam negeri atau luar negeri.Cuti terhad kerana majikan tak galakkan cuti lama di hujung tahun.Kerja dan terus kerja.Kejar dan teruslah kejar bajet tu.Jaga KPI.Nanti bonus miss.Jadi cuti terhad. Untuk ke luar negeri kurang sesuai.Kelam kabut nanti jadinya.Hati majikan perlu dijaga.Nak cuti lama-lama nanti pasti ada yang masam muka.Apa nak buat.Itulah adat makan gaji.Banyak hati yang perlu dijaga.
Akhirnya jalan-jalan cuti di dalam negeri. Nak ke mana ni. Entah. Banyak tempat dah pegi. Apa kata kita ikut jalan baru yang kita tak pernah lalu. Ke mana kita?
Search internet di pagi Ahad 04 Dis. Tengok-tengok jengok jengok.Nampak satu tempat bernama PUNCAK ARABELLA.Ya kita ke sana. Jam 9.00 pagi masih di Johor. Cari rumah penginapan di mudah.my. Lokasi PUNCAK ARABELLA. Call pemilik sebuah homestay. Ada kosong malam ni. Ok jadi booking. Terus mengemas dan berkemas. Cepat-cepat nanti lambat. Ni musim hujan. Silap haribulan banjir. Banjir kilat macam di Kajang hari tu boleh berlaku!
MPV made in Malaysia terus memecut melalui jalan Endau-Rompin-Muadzam. Jumpa LPT terus menuju ke arah Kuala Lumpur. Pertama kali lalu di sini. Ok juga highway ni. Dah siap lama dan banyak kereta lalu lalang. Pemandangan boleh tahan. Bukit bukau gunong ganang di belah oleh kami sekeluarga. Macam jalan dalam video game kata anak saya yang kecil. Ilusinya selama ini ternyata menjadi realiti.
Lapar haus campur tak tahu jalan .Perlu berhenti tanya orang tentang jalan seterusnya. Berhenti di R&R Gambang. Makan dan Minum. Harga OK dan rasa pun boleh tahan. Mungkin sebab harga kawalan di R&R.
Teruskan perjalanan melalui kawasan Felda. Terus dan terus lagi.Jumpa kawasan tak pernah kami lalui. Lancang, Termerloh,  Srijaya. Exit ke Raub. Jauh lagi rupanya bandar Raub. Terus lagi melalui jalan Felda Mempaga. Hujan renyai-renyai. Jumpa Felda Lurah Bilut.Ya nama Lurah Bilut kalau tak silap nama sebuah filem. Lurah Bilut antara kawasan Felda terawal.
Akhirnya sampai di bandar Raub. Pertama kali sampai. Agak sepi bandar ni mungkin sebab dah jam 7 malam. Terus lagi. Hari makin gelap. Betul ke jalan ni. Sunyi je.Ternampak sebuah kedai runcit. Berhenti tanya jalan pada tuan kedai. Nak ke puncak Encik terus lagi sampai jumpa Sg Koyan. Tempat ni nama apa pakcik. Ini Batu Talam.  Macam pernah dengar tempat ni. Dulu pernah gempar satu Malaya. Ingat kes Mona Fendy.
Jalan terus lagi. Berjumpa Felda Sg Koyan. Ya dah dekat tu. Tanya pak cik di shell Sg Koyan jalan ke puncak. Encik belok kiri melalui Pos Betau terus dalam sejam sampailah puncak.Tapi jalan tu belum diwartakan. Boleh lalu. Hati-hati dah malam ni. Hujan renyai dah mula turun.
Terus memecut. Alamak gelap. Tak ada lampu jalan ke rungut isteri saya. Belum gazet lagi jalan ni sebab tu tak ada lampu. Tapi banyak kereta lalu di sini. Turun dari puncak. Khabarnya jalan ni dah lama siap. Bila nak gazet. Mungkin adalah yang ditunggu tu. Atau masa untuk gazet belum sesuai. Mungkin tunggu saya jadi YB sini ke. Impossible. Saya bukan orang sini. Juga bukan winnable candidate. Politic is not my business. Now. Esok lusa belum tahu.
9.30 malam sampai di Ringlet. Call tuan homestay. Encik terus ke Tanah Rata. Terus memecut lagi. Sampai Tanah Rata jumpa simpang pertama belok ke kanan menuju Hospital. Belok. Nampak sign board PUNCAK ARABELLA. Terus naik. Tinggi. Tukar gear 2, 3 dan L. Dapat naik atas. Sampai. Call tuan rumah. Nak ambil kunci. Kejap lagi katanya. Beliau terperangkap di jalan Brincang sebab ada Pasar Malam di sana. Sibuk puncak ni di musim cuti.
10.00 malam ambil kunci. Check In. Bayar sewa dua malam sebab dapat special diskaun dari tuan rumah. Dah sampai. Lega. Masuk bilik buka tingkap. Sejuk sekali puncak ini. Kali terakhir ke sini tahun 2004. Masa tu PUNCAK ARABELLA masih hutan tebal. Hanya siap dan diresmikan apartment ni tahun 2010. Cantik dan sejuk. Semua siap nak pergi makan sebab dah lapar. Dah makan terus balik.
Tidur.
Lena di PUNCAK ARABELLA.

Jumpa lagi perjalanan turun dari PUNCAK ARABELLA nanti............


3.12.11

MANUSIA DAN HUTANG

Hutang Kawan Jadi Lawan 
Hutang Kedai Sampai Gadai
Hutang Kawin Tok Kadhi Jadi Saksi..............

Itu adalah antara senikata sebuah lagu lama yang agak popular suatu waktu dahulu. Saya terlupa nama penyanyinya kerana lagu tersebut telah lama tidak berkumandang di udara.
Pasti liriknya ditulis berdasarkan pengalaman dan kisah mengenai hutang-hutang tertunggak oleh kawan-kawan dan para kenalan.

Manusia dan hutang sememangnya tidak dapat dipisahkan umpama remaja dengan handphone. Hutang adalah keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup masakini.Tanpa hutang kita akan kelihatan tidak punya apa-apa kerana memiliki sesuatu melalui bayaran tunai memakan masa yang agak lama untuk kita menabung dan menghimpun wang dari pendapatan bulanan.Hutang Persekolahan/Pelajaran, Hutang rumah. Hutang kereta. Hutang perabot. Hutang barangan elektrik. Hutang kenduri kahwin atau mengahwinkan anak.Hutang kad kredit. Itu adalah beberapa jenis hutang yang membelenggu manusia.
Dari siapa mereka berhutang? Bank, kawan kawan, kenalan, sanak saudara, Along?
Yang penting setiap hutang perlu dibayar.Ada hadis nabi yang menyatakan roh seseorang itu tergantung selagi hutangnya tidak dijelaskan.
Melambat-lambatkan membayar hutang merupakan sifat yang kurang baik. Jika hutang dengan bank, nama anda bakal disenarai hitamkan dan anda akan sukar memohon pinjaman dari mana-mana bank kerana sistem CCRIS telah merekodkan hutang anda.
Jika hutang dengan along, anda akan dihukum semahu-mahunya sehinggalah hutang dijelaskan. Jika hutang dengan kawan kawan akhirnya mereka akan menjadi lawan dan kita akan kehilangan kawan kawan. Akhirnya kita menjadi kera sumbang dan tidak berani berada di khalayak ramai. Kita takut nak mengangkat panggilan telefon.Ipar duai  dan sanak saudara bermasam muka, tidak bertegur sapa malah tak berkunjung di hari raya gara-gara hutang tertunggak yang telah lapuk.
Oleh itu andainya anda masih berhutang bayarlah segera mengikut jadual atau janji anda kepada pemberi hutang. Ingatlah ketika jenazah ingin di bawa dari rumah ke pusara biasanya pengumuman tentang tuntutan hutang akan diumumkan oleh wakil keluarga simati.
Bayarlah hutang anda agar anda tidak menyusahkan insan lain di mukabumi ini.


Salam maal hijrah
abangms