Kartun dari UtusanOnline
Memaparkan catatan dengan label MELAYU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MELAYU. Papar semua catatan
9.10.10
3.10.10
MODEL BARU EKONOMI (MBE): TERJAMINKAH HAK MELAYU?
Apakhabar semua,
Apakhabar Malaysia,
Masih beraya lagi? Teruskan kunjungan anda.Rumah terbuka sana-sini.Sibuk dalam kesibukan.
Pagi-pagi saya melihat akhbar-akhbar utama.Isu Melayu dan MBE.Apa MBE tu?Macam no plat kenderaan di negeri Melaka je nampaknya.
MBE=Model Baru Ekonomi.
Ada 12 perkara penting perlu anda tahu dalam MBE tu.Sesetengah orang risau kalau kalau MBE mengenepikan Melayu, meminggirkan Melayu lantas menyingkirkan Melayu dari arus kepesatan ekonomi Malaysia tercinta ini. Bagi merungkai kerisauan tersebut pemimpin harapan masa depan iaitu TPM kita ada jawapan mengenainya.Ada berita gembira tentangnya.Utusan Online memuatkan berita dan cerita itu.
Jom Baca.
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Orang Melayu dan bumiputera tidak perlu khuatir dengan kedudukan hak mereka dalam Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia akan terus dilindungi, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ia tidak dihuraikan secara terperinci, terangkum di dalam model berkenaan adalah aspek penyertaan usahawan Melayu dan bumiputera.
Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera juga sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa kerajaan menjadikan perkara berkenaan satu komitmen.
"Saya sendiri menerima maklum balas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pengusaha bumiputera yang melawat dari satu galeri ke satu galeri pada hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini dan mereka bertanya di mana agenda bumiputera?
"Pastinya kita tidak jelaskan itu tapi tanpa menghuraikannya satu persatu (sekalipun), pastinya pimpinan ekonomi Melayu tahu bahawa penglibatan bumiputera dalam MBE telah menjadi komitmen yang dinyatakan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay, Presiden DPMM, Syed Ali Al Attas dan Timbalannya, Datuk Muhammad Alayuddin.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan makmal 'Agenda Melayu' oleh DPMM sebagaimana diumumkan oleh Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya.
Beliau yakin inisiatif DPMM itu selari dengan kehendak pimpinan kerajaan yang mahu memastikan dasar afirmatif terhadap orang Melayu dan bumiputera kekal dalam MBE.
Beliau berkata, apa yang lebih penting pimpinan DPMM boleh membantu kerajaan menterjemahkan hasrat berkenaan secara terperinci.
"Sebab itu kita mahu pengusaha bumiputera berganding bahu mengambil ini (MBE) sebagai satu tawaran dan bukan sebagai cabaran.
"Melaluinya, kita berpeluang meneliti secara dekat bagaimana masyarakat bumiputera boleh terlibat dalam 12 NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) yang telah dikenal pasti," katanya.
NKEA yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) adalah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya membabitkan sektor industri dan satu - Greater Kuala Lumpur - adalah kawasan geografi.
Melayu Boleh!
Jumpa lagi
26.9.10
PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP): APA KOMEN DATO' SALLEH MAJID!
Apakhabar semua! Apakhabar Malaysia
Hari ini Ahad 17 Syawal
Masih beraya lagi kita. Masih sibuk dengan jemputan rumah terbuka. Ada juga jemputan kenduri kahwin. Pagi jam 11.00 saya menghadiri rumah terbuka YB ADUN kawasan saya yang merupakan seorang EXCO. Hampir terlupa saya nasib baiklah beberapa hari lepas beliau menelefon saya mengingatkan untuk hadir ke majlis tersebut. Bagus sungguh YB saya ni. Selain hantar kad jemputan dia call sendiri rakan-rakan untuk hadir tidak kira siapa termasuklah saya yang bukan orang politik. Inilah YB berjiwa rakyat (agaknya). Apapun sambutan sungguh meriah hingga ke petang. Saya pulang selepas setengah jam menjamu selera dan bersembang raya dengan YB. Sebelum balik sempat juga bersalaman dengn orang-orang beliau berhampiran khemah.Orang-orang politik belum balik lagi.Kena tunggu hingga majlis tamat barulah markah lebih sikit dan YB tengok-tengok siapa bakal calon sesuai PRU akan datang (agaknya begitulah). Ada yang bercerita tentang kes pembunuhan jutawan kosmetik dan ada juga isu Program Transformasi Ekonomi (ETP). Saya tak sempat masuk campur perbualan mereka kerana perlu menghadiri jemputan kahwin rakan isteri saya yang yang menjadi raja sehari pada hari ini.
Bercakap tentang ETP , di post ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang pandangan Dato' Salleh Majid (Bekas Pengurus Besar BSKL) tentang ETP yang mula dikatakan di sana sini di Malaysia ketika ini. Khabarnya ETP bakal mengubah lansdkap ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi (mudah-mudahan). Pandangan beliau saya sifatkan sebagai menarik dan pastinya membuat kita teruja dan terpanggil untuk membincangkannya.
Ikuti pandangan beliau di ruangan Saranan Salleh di Utusan Malaysia 25 Sept 2010. (Di salin sepenuhnya tanpa sebarang pengeditan)
Transformasi atau pakej rangsangan ekonomi?
Saranan Salleh
DI sebalik kehangatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, rakyat Malaysia dialihkan seketika minggu ini dengan topik yang tidak kurang hangatnya iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perkara ini mendapat lebih tumpuan semua pihak kerana dicanang sebagai pelan drastik membawa ekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang, seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.
Penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di hadapan 3,000 peserta pelbagai kaum menyatakan bahawa ETP menerusi 12 bidang utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek untuk menghasilkan AS$444 bilion (RM1.4 trilion) yang diperlukan dari sektor swasta untuk mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang bertanggungjawab membantu Idris memperincikan sumber pelaburan RM1.4 trilion tersebut untuk tempoh 10 tahun akan datang dari pecahan sebanyak 60 peratus pelaburan sektor swasta, 32 peratus syarikat-syarikat kerajaan (GLC) dan kerajaan sebanyak lapan peratus.
Melalui ETP nanti, kita dijanjikan dengan peningkatan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak tiga kali ganda dari RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion pada 2020. Kesannya dijangka membawa pendapatan per kapita GNI dari RM20,770 (AS$6,700) kepada sekurang-kurangnya RM46,500 (AS$15,000) seperti digariskan Bank Dunia sebagai status pendapatan tinggi.
Kesemua sumber pelaburan swasta itu merentasi 12 bidang ekonomi iaitu tenaga, minyak dan gas, kelapa sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborong dan peruncitan, pendidikan, kesihatan komunikasi dan infrastruktur, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Memang menarik idea-idea tersebut seperti mana kita pernah mendengar projek koridor, program kluster BCIC-2 dan macam-macam seumpamanya dengan pemimpin-pemimpin sebelum ini tetapi akhirnya langsung tidak memberi kesan yang besar dan mendalam terutama rakyat jelata.
Sebagai rakyat, kita memang menyokong apa juga usaha untuk memaju dan memakmurkan negara. Cuma kita perlu memastikan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar bagi mengelakkan kegagalan.
Malah jika tersilap langkah, perjalanannya akan menjadi ‘ibarat pisau makan tuan’ kepada kerajaan yang memerintah apabila rakyat marhaen merasakan mereka tidak sama sekali merasai nikmatnya hingga kerajaan dituduh dengan pelbagai anggapan negatif sekali gus membawa keruntuhan politik seperti PRU-12.
Peluang mendengar cakap-cakap hadirin yang hadir dalam taklimat ETP dan peminat-peminat ekonomi mengulas dalam pelbagai sumber media mungkin memberikan kita semua respons sebenar tentang kesamaran dan tahap keyakinan masyarakat umum terhadap idea ETP.
Antaranya ialah definisi penglibatan sebenar pihak swasta dan pelaburan yang tiba-tiba melonjak kepada RM1.4 trilion pada 2020, sedangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan pelaburan swasta sebanyak RM535 bilion.
Persoalan yang dirungutkan ialah apakah benar-benar pihak swasta akan memainkan peranan utama dengan sejumlah pelaburan tersebut untuk jangka masa 10 tahun akan datang dan siapakah mereka itu?
Bagi sesetengah penganalisis, lawak tersebut pernah dicetuskan dalam projek koridor dan beberapa transformasi kepimpinan terdahulu tetapi akhirnya pihak kerajaan juga lebih memainkan peranan berbanding sektor swasta.
Akhirnya hanya GLC yang bertungkus-lumus membangunkan koridor hingga ada yang mengalami kerugian besar dalam keseluruhan projek dalam dan luar negara. Apakah penglibatan GLC ini sebagai sektor swasta tulen ataupun akhirnya menjadi sebahagian besar sumber pelaburan adalah dari kerajaan?
Cakap-cakap juga memberi contoh cadangan membangunkan pangkalan udara Sungei Besi menggunakan Dana Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB) yang dijamin oleh kerajaan untuk memperoleh dana daripada bank. Apakah ini juga GLC atau swasta sepenuhnya?
Pelbagai projek mega ini dikatakan oleh Datuk Nazir Razak sebagai pencetus ekonomi besar melalui 12 bidang utama. Oleh kerana projek mega, maka sudah pasti yang terlibat juga syarikat swasta gergasi. Tidak ada masalah!
Cuma apakah pula langkah untuk memastikan keseimbangan peluang ekonomi diberikan kepada syarikat gergasi yang telah lama bertapak dan telah lama membolot habuan, dengan usahawan-usahawan baru untuk memasuki saingan dalam saiz seimbang?
Begitu juga pembangunan hartanah yang begitu besar yang mensasarkan pembinaan begitu banyak bangunan pencakar langit dalam tempoh sembilan tahun akan datang. Keraguan tercetus disebabkan suasana penawaran hartanah seumpama itu pada masa kini pun sedang berdepan dengan kemelut besar yang tidak dapat dijual.
Projek Sentral misalnya sedang berdepan dengan masalah penyewa sehingga memaksa GLC menempatkan pejabat mereka di situ bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Hasrat ETP adalah memajukan rakyat dan negara. Mungkin juga untuk menandingi daya saingan ekonomi dan pelaburan dunia terutama negara jiran dalam rantau Asia Tenggara. Jika kita ingin bersetuju dengan ETP, kerajaan juga harus bersetuju melaksanakan transformasi pelbagai peringkat yang sepatutnya menjadi penggerak, bukan hanya ETP tetapi juga pencapaian matlamat negara maju.
Antaranya ialah kualiti pembangunan modal insan iaitu dalam pendidikan dan kualiti kemahiran. Maka reformasi pendidikan tinggi juga perlu berubah untuk melahirkan keupayaan dan kemahiran membina negara atas usaha ini. Mutu pendidikan mesti berubah segera dan mengekalkan tenaga pekerja mahir yang semakin berhijrah ke luar negara hingga membawa pengaliran keluar modal kepakaran.
Banyak aspek infrastruktur negara yang menjadi penghalang minat pelaburan dipertingkatkan dan tersenarai dalam ETP. Contoh jelas ialah soal pengaliran trafik jalan raya yang masih sesak yang merugikan masa perjalanan dan pergerakan pengangkutan niaga.
Begitu juga kemudahan awam seperti pasar-pasar borong, gerai-gerai makan di bandar raya seperti Kuala Lumpur yang masih menjijikkan. Malah kerenah birokrasi yang masih belum benar-benar mengalami transformasi untuk menyokong usaha menarik pelaburan swasta jika ETP hendak dilaksanakan.
Tanpa memperkecilkan ETP, mesej yang hendak kita sampaikan ialah transformasi yang seimbang antara ETP dan kesediaan rakyat dan negara mencapai misi tersebut. Kuncinya ialah keseimbangan transformasi secara total untuk menghasilkan kemajuan yang berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Dalam erti kata lain ialah perlunya melibatkan transformasi institusi juga.
Apakah pelaburan RM1.4 trilion ini akan membawa keajaiban baru dalam masa 10 tahun akan datang? Mungkin tidak mustahil jika ETP digerakkan dengan penuh cermat, tegas, berhati-hati dan berhemah. Jika tidak, gagasan ini bertukar menjadi gimik dan bahan lawak rakyat hingga memberi kesan serius kepada perubahan landskap politik negara. Harapan kita ialah melihat kejayaan supaya ETP benar-benar satu transformasi ekonomi dan bukannya strategi ekonomi yang tidak ubah seperti pakej rangsangan ekonomi.
Apa pendapat anda dengan komen Dato Salleh Majid ni?
Beliau bukan calang-calang tokoh dan mempunyai kredibiliti untuk menyatakan pandangan tentang ETP.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Beliau bukan calang-calang tokoh dan mempunyai kredibiliti untuk menyatakan pandangan tentang ETP.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Jumpa lagi
25.9.10
MELAYU BAKAL HILANG KUASA! BETUL KE?
Hari ini sabtu 25 September 2010.
Masih beraya. Kebanyakan sekolah mengadakan sekolah/kelas ganti bagi menggantikan cuti raya yang telah diambil baru-baru ini. Akhbar hari ini memaparkan macam-macam isu. Bonus kakitangan awam, kes bunuh jutawan kosmetik (anda dilarang mengulas kerana masih dalam siasatan dan biarlah PDRM menjalankan tugas mereka), isu transformasi ekonomi, persidangan modal teroka islam dan pelbagai lagi isu-isu menarik yang perlu anda baca.
Satu isu yang menarik perhatian saya di pagi sabtu ini ialah isu MELAYU BAKAL HILANG KUASA JIKA PEMBANGKANG MEMERINTAH -pandangan Tun Mahathir. Utusan Malaysia Online menyiarkan satu rencana tulisan Azman Anuar tentang isu melayu ini dari kacamata mantan PM -Tun Mahathir serta sikap MB Kelantan yang dikatakan tidak berbangga menjadi Melayu.Sebahagian dari para pembaca mungkin beranggapan ini hanyalah isu politik kepartian yang ditimbulkan bagi meningkatkan sokongan bagi meneruskan kelangsungan parti masing-masing agar nampak lebih relevan antara satu sama lain.Ada juga yang bersikap tidak campurtangan dan tak kisah bila isu Melayu bakal hilang kuasa diutarakan oleh bekas PM kita.
Bagi saya isu kuasa perlu diperbincangkan dengan serius kerana kuasa ini tidak boleh dijual beli, tiada dijual di mana-mana dan jika melayu hilang kuasa anda sendiri boleh membayangkannya kerana jika ulasan berlebihan di sini saya khuatir akan dilabel sebagai rasis. Jadi untuk renungan semua saya paste kan di bawah ini rencana dari Utusan Online untuk sama-sama kita fikirkan dan bincangkan kerana isu hilang kuasa bukan isu main-main.Mungkin sambil beraya dan berkunjung di rumah-rumah terbuka isu ini boleh dijadikan bahan perbualan, pembuka bicara selain kita berbincang tentang kuih semperit,almond london, kerongsang raya dan tudung baru lagi sedondon dengan baju raya yang berwarna warni macam air batu campur.
Jom baca:-
PRU-13 semakin hampir, Melayu masih belum sedar
Oleh Azman Anuar
CUKUP menarik kalau kita ‘membaca’ pemikiran dua tokoh – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang Melayu pada masa kini.
Terbaharu Dr. Mahathir melontarkan pandangan mengenai Melayu bakal hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.
Sebagai anak jati Kelantan, Datuk Nik Aziz pula berkata, beliau tidak berbangga pun jadi Melayu!
Kenyataan Dr. Mahathir mengenai Melayu hilang kuasa itu diselar oleh beberapa pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas. Mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu terus menerus meniupkan api perkauman.
Sebenarnya sebagai orang yang dianggap ultra Melayu, nasihat Dr. Mahathir tidak sepatutnya dikaitkan dengan unsur perkauman kerana kenyataan itu ditujukan kepada orang Melayu berdasarkan situasi sebenar apabila kuasa politik dipegang oleh DAP seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Malahan kebimbangan beliau itu pun bukan lagi setakat pada perasaannya sahaja tetapi ia benar-benar telah berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.
Contoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir sudah terjadi di depan mata kita. Beberapa pemimpin Melayu dijadikan boneka untuk menampakkan seolah-olah bangsa kita yang berkuasa. Hakikatnya, situasi itu cukup menyedihkan dan menyakitkan hati.
Jika ditakdirkan pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat, mungkin jawatan Perdana Menteri diberi kepada kalangan pemimpin Pas atau PKR.
Pun begitu, mereka hanya sebagai boneka sahaja kerana kuasa sebenar adalah di tangan DAP. Malah kita tidak terkejut jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan dipegang oleh DAP.
Berdasarkan pengamatan pemerhati politik, peluang Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sukar dijangkakan jika dilihat suasana yang belum menggalakkan dalam komponen BN.
Ada parti komponen BN sudah tidak menampakkan semangat berjuang dan ada pula yang asyik mementingkan kaum sendiri daripada berjuang membantu kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
Situasi bertambah sukar jika perpaduan Melayu masih gagal disatukan. Dr. Mahathir sudah banyak menyuarakan tentang pentingnya perpaduan antara orang Melayu.
Tetapi sesetengah pihak Melayu sendiri memandang remeh hinggakan kaum lain hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan agama Islam.
Sebab itu, orang Melayu yang insaf akan pentingnya maruah bangsa Melayu mengharapkan Nik Aziz dapat memandu orang Melayu ke arah perpaduan. Tetapi, harapan itu semakin pudar apabila Nik Aziz sendiri tidak berbangga menjadi Melayu.
Jika Tok Guru mendakwa tidak berbangga dengan ‘Melayunya’, apa lagi yang ada pada beliau? Tak mungkin beliau tak tahu bahawa para Nabi dan Rasul pun dipilih di kalangan bangsa tertentu. Takkan beliau minta dilahirkan sebagai orang Arab? Ini takkan berlaku kerana Tuhan sudah takdirkan beliau sebagai orang Melayu. Beliau patut bersyukur.
Sebagai insan Melayu, Nik Aziz juga ada peranannya yang tersendiri kepada orang Melayu selain perjuangan untuk agama Islam.
Tetapi, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas pula dihat sudah ‘melencong’ daripada perjuangan asal.
Banyak yang sudah kita baca, perjuangan Pas yang asalnya untuk menegakkan hukum Islam kini beralih kepada membela bangsa lain selari dengan perjuangan rakan kongsinya, DAP.
Perjuangan hukum hudud sudah tidak kedengaran lagi. Pas kini bagaikan menyokong tanpa berbelah bahagi apa yang dilakukan oleh DAP dalam menentang Melayu dan negara Islam yang ingin diperjuangankan Pas sendiri.
Kalau tindak-tanduk DAP itu disokong oleh Nik Aziz, maka bukan peliklah apabila beliau mengatakan tidak berbangga menjadi orang Melayu.
Malahan jika Nik Aziz benar-benar mengikut perintah Allah, pasti larangan Allah diketepikannya. Tetapi kenapa beliau sendiri yang mengkafirkan orang Islam yang lain?
Kenapa beliau mencarut? Kenapa menghalalkan wanita bukan Muslim masuk ke rumah Allah, sedangkan wanita Islam yang berhadas besar pun diharamkan berada di perkarangan surau atau masjid?
Kita berdoa agar Nik Aziz kembali sedar akan ‘keterlanjurannya’ demi menyatukan umat Melayu dan Islam negara ini.
Usaha menyatukan Melayu masih disuarakan oleh orang Melayu yang sedar hakikat perpaduan. Tetapi, sayangnya ia masih lagi di tahap bertatih, sedangkan masa semakin hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kepada pemimpin parti dan ahli politik Melayu, ingat-ingatlah nasib dan masa depan anak bangsa yang tidak memihak pada mana-mana parti politik dan belum layak untuk menjadi pengundi.
Jangan korbankan masa depan mereka kerana tamakkan kuasa. Jika bangsa bukan Melayu mementingkan survival bangsa mereka di negara ini tanpa mengira parti politik, kenapa tidak orang Melayu? Bersatulah!
Apa lagi orang melayu ,bersatulah cepat.
Pemimpin-pemimpin di atas tu cepat-cepat duduk semeja.
Jangan tuduh menuduh.
Rakyat berpecah jika pemimpin bertelagah.
Bersatulah, Sekarang bukan Esok Esok.Masa Tidak Menanti Kita.
Seniman Dato Jins Shamsuddin pernah menjodolkan beberapa filem tentang ESOK:-
JANGAN MENANTI HARI ESOK
MUNGKIN TIADA ESOK BAGIMU
Kalaulah ESOK MASIH ADA
Tapi kita tidak pasti ESOK UNTUK SIAPA.
Jumpa lagi
abangms
Langgan:
Catatan (Atom)
