selamat mengundi
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
3.4.13
23.10.10
UMNO MENJULANG EKONOMI MELAYU
Apakhabar Semua
Apakhabar Malaysia
Ekonomi melayu merupakan satu isu yang seringkali dibahaskan terutamanya dalam perhimpunan agung UMNO.Perhimpunan kali ini juga tidak terkecuali dari membahaskan isu tersebut. Semalam Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Datuk Dr Awang Adek Hussin membentangkan usul ekonomi yang mahu kerajaan membentuk PIPP iaitu Pelan Induk Pembangunan Bumiputera yang dibahaskan oleh beberapa perwakilan. Sila baca petikan dari Berita Harian Online seperti berikut:-
Julang ekonomi Melayu
Berita Harian :23/10/2010
KUALA LUMPUR: Perbahasan usul ekonomi pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 semalam mahu kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menjulang ekonomi orang Melayu termasuk membentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).
Ini sebagai panduan pelaksanaan dasar serta memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan serta mencapai sasaran.
Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata PIPB perlu dijadikan dasar membangunkan Bumiputera dalam pelbagai bidang dan memastikan urusan mengukur tanda aras dan sasaran pencapaian Bumiputera dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri
Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, usaha itu juga akan dapat memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan.
Kita berharap dengan pengawasan rasmi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, katanya.
Usul ekonomi itu kemudian disokong wakil Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan dibahaskan wakil UMNO negeri serta sayap parti sebelum diluluskan.
Sebelum itu, perwakilan turut meluluskan usul ucapan dasar Presiden selepas sesi perbahasan bersambung awal pagi semalam dengan enam lagi wakil UMNO negeri, termasuk wakil Puteri UMNO serta wakil Kelab UMNO mengambil bahagian.
Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.
Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.
Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, katanya.
Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.
Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.
Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.
Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti
ULASAN
Sebenarnya saya bukanlah berhasrat mencampuri urusan parti UMNO yang mencadangkan dan membahaskan usul tersebut.Saya bukanlah orang politik yang hendak menyibuk tentang mana-mana parti kerana minat saya dalam politik telah terpadam sejak tahun 1999 dahulu.Walau pun ada rakan-rakan saya yang masih aktif berpolitik dan memegang jawatan-jawatan di dalam parti peringkat cawangan dan bahagian samada UMNO atau parti lain saya masih belum berminat untuk aktif walaupun dipelawa oleh kawan-kawan.Walau bagaimanapun menjadi pemerhati dan mengikuti perkembangan politik sememangnya menjadi minat saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Oleh itu bila isu ekonomi melayu dibicarakan saya berasa amat terpanggil untuk turut serta memberikan pandangan. Tambahan pula rutin kerjaya harian saya sentiasa bergelumang dengan usahawan, peniaga, petani khususnya kaum melayu. Kadang-kadang saya terpaksa mendengar keluhan dan permasalahan mereka dalam persaingan perniagaan dan cabaran persekitaran perniagaan masa kini.
Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera.Pelbagai agensi telah diwujudkan seperti MARA, TEKUN, pelbagai jabatan dan agensi. Dulu ada MPUD (Majlis Pembangunan Usahawan Daerah) di bawah KPU yang telah dibubarkan dan kini ada MPPP (Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen). Penguasaan peniaga dan usahawan rasanya masih tidak banyak berubah.Pemilikan hartanah bumiputera di bandar-bandar seperti pemilikan rumah kedai masih rendah. Apa sebenarnya yang menyebabkan bumiputera sukar maju ke depan dalam penguasaan ekonomi.
Saya berminat mengulas dari sudut peniaga dan usahawan IKS serta usahawan tani. Sudut yang lain seperti kontraktor dan penguasaan GLC dalam kek ekonomi kita bincangkan di episod lain.
Bagi pengusaha IKS bumiputera antara masalah mereka ialah pasaran ke atas produk yang dihasilkan.Usahawan IKS hari ini telah pandai menghasilkan produk berkualiti melalui tunjuk ajar dan kursus oleh agensi-agensi kerajaan seperti MARDI, MARA,Pusat Giat MARA, Jabatan Belia & Sukan, Jabatan Pertanian, KEMAS dan lain-lain.
Banyak produk-produk berkualiti berjaya dihasilkan dari roti dan kek sehinggalah produk berasaskan teknologi dan kejuruteraan.
Walau bagaimanapun ke mana mereka nak menjual produk mereka jika jumlah pengeluaran telah membesar. Skala Besar. Pasaraya, Hypermarket? Dimanakah letaknya produk bumiputera di sana? Jika pasaraya besar membeli produk-produk tersebut bayaran secara kredit biasanya memakan masa selama 3 hingga 6 bulan malah lebih lagi. Jadi ini bakal menimbulkan isu kecairan aliran tunai kepada pengusaha IKS. Tak boleh tahan sebab payment lambat itulah keluhan mereka jika ditanya kenapa mereka tidak menjual produk ke pasaraya besar.
Bagi golongan petani pula hasil pertanian berskala besar agak sukar dipasarkan selain dari harga ladang yang tidak menentu. Memang kita ada FAMA. Tetapi sejauhmanakah FAMA dapat membeli hasil keluaran pertanian. Bolehkah FAMA membeli hasil keluaran 200 ekar tanaman roselle secara konsisten setiap bulan?Itu baru satu jenis tanaman.Bagaimana dengan durian,pulasan,rambutan yang kerapkali kering di atas pokok! Sayur-sayuran ?Ke mana nak jual dengan harga yang munasabah?
Sekali lagi saya nyatakan maklumat dan maklumbalas dari para pengusaha IKS dan petani di peringkat rakyat bawahan ini atau diistilahkan sebagai peringkat akar umbi ialah PASARAN...ya... PASARAN..
Maksud saya ialah pasara terbuka. Pasaran kerajaan melalui tender dan sebutharga memang telah ada untuk bumiputera tetapi persaingan di kalangan kontraktor bekalan sesama sendiri mewujudkan harga yang rendah dan kurang menguntungkan.
Seorang sahabat saya berpendapat agar usahawan IKS melayu memasarkan produk mereka di pasar-pasar tani dan pasar malam. Itu betul.Saya setuju.Tetapi bagaimana jika perusahaan telah berskala besar. Tak kanlah pasar tani dapat menampung produk yang banyak. Kenapa pula nak berskala besar.Ya perlu berskala besar sebab kita nak menguasai ekuiti 30% ke atas.Kalau skala kecil sampai bila nak dapat menguasai 30%? Bila besar tak boleh jual...itulah masalahnya...itulah isunya...bukan melayu tak pandai atau melayu malas...
Oleh itu saya menyarankan agar pemimpin-pemimpin UMNO memikirkan penubuhan rangkaian pasaraya dan hypermarket untuk memasarkan produk-produk IKS dan pertanian keluaran orang melayu.Ini perlu kerana bidang pengeluaran atau pembuatan produk memberi pulangan margin atau keuntungan yang tinggi.
Kita lihat bagaimanakah usahawan bangsa lain mempunyai jaringan pemasaran yang kukuh dalam apa jua produk. Contohnya pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan. Barulah mereka boleh mengembangkan perniagaan lain sebab modal semakin kukuh. Usahawan kita masih di takuk lama walaupun isu ekonomi melayu telah dijeritkan saban tahun dalam perhimpunan-perhimpunan melayu.
Sesungguhnya bercakap dan berteori sahaja di dalam perniagaan tidak menjanjikan apa-apa jika kita gagal menguasai pasaran....
Jumpa lagi
JANGAN PERSOAL HAK MELAYU (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan)
Apakhabar Semua,
Apakhabar Malaysia,
Sehari dua ini suasana agak berjerebu. Persekitaran kelam dan kadangkala kelabu.Tidak jelas pandangan dan amat menyukarkan pemandu kenderaan. Di Muar sekolah terpaksa ditutup kerana jerebu mencapai paras bahaya.
Sepanjang minggu ini juga tumpuan umum dan media massa mula beralih dari isu bajet 2011 kepada perhimpunan agung UMNO. Sama ada anda setuju dengan UMNO atau tidak setuju, setiap malam berita perdana di kaca TV menyiarkan liputan dari PWTC dan anda pasti menontonnya kecuali anda menukar siaran ke saluran lain. Bagi saya liputan tersebut perlu juga diikuti oleh rakyat.Ada isu-isu yang dibahaskan perlu difikirkan dan mungkin dibahaskan semula di peringkat rakyat bawahan sama ada di warung-warung kopi, serambi pejabat-pejabat mahupun di blog-blog politik dan laman sosial.Saya melihat sebagai rakyat kita perlu mendengar pandangan, pendapat,hujah dan rencah dari parti pemerintah dan parti pembangkang. Setelah membuat pertimbangan barulah kita membuat pilihan terbaik.Janganlah kita cepat melatah dan taksub kepada sebelah pihak sahaja. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang berdegar-degar mengkritik sesebuah parti lain tiba-tiba melompat ke parti yang pernah dikritik semahu-mahunya. Yang melopong dan ternganga ialah para penyokong yang kadangakala tak faham apa-apa atau berpolitik secara ikut-ikutan saja. Ikut kawan.... istilah anak saya di darjah 2. Oleh itu kita kena rasional dan mendengar pandangan kesemua pihak kawan atau lawan.
Sepanjang perhimpunan UMNO kali ini ada satu isu yang telah diucapkan oleh pemimpin UMNO dan penting untuk anda semua fahami.Isu yang ingin saya kongsikan ialah isu HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. Di bawah ini disertakan ulasan dari seorang Prof Madya dari sebuah universiti tempatan untuk renungan anda semua. Rencana bertajuk Jangan Persoal Hak Melayu ini dipetik dari Utusan Online:-
Jangan persoal hak Melayu
Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.
Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.
Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.
"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."
Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."
Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.
Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:
1. Perkara 38 (5)
2. Perkara 10 (4)
3. Perkara 8 (2)
4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."
Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.
Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.
Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.
Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'
Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.
Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.
Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.
Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.
Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.
Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.
Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.
Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.
Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid
Sekolah Sains Sosial,
Universiti Malaysia Sabah
Setelah membaca rencana di atas saya berharap agar pemahaman anda tentang isu hak melayu dan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah jelas dan tidak berjerebu lagi kerana suasana jerebu di Muar dan kawasan-kawasan yang senasib dengannya telah beransur pulih. Golongan yang masih tak berpuashati perlulah membuat homework dengan merujuk beberapa tajuk/bab dalam Perlembagaan Persekutuan seperti
Perkara 38 (5),Perkara 10 (4), Perkara 8 (2) yang dinyatakan di atas.
Salam hujung minggu.
25.9.10
MELAYU BAKAL HILANG KUASA! BETUL KE?
Hari ini sabtu 25 September 2010.
Masih beraya. Kebanyakan sekolah mengadakan sekolah/kelas ganti bagi menggantikan cuti raya yang telah diambil baru-baru ini. Akhbar hari ini memaparkan macam-macam isu. Bonus kakitangan awam, kes bunuh jutawan kosmetik (anda dilarang mengulas kerana masih dalam siasatan dan biarlah PDRM menjalankan tugas mereka), isu transformasi ekonomi, persidangan modal teroka islam dan pelbagai lagi isu-isu menarik yang perlu anda baca.
Satu isu yang menarik perhatian saya di pagi sabtu ini ialah isu MELAYU BAKAL HILANG KUASA JIKA PEMBANGKANG MEMERINTAH -pandangan Tun Mahathir. Utusan Malaysia Online menyiarkan satu rencana tulisan Azman Anuar tentang isu melayu ini dari kacamata mantan PM -Tun Mahathir serta sikap MB Kelantan yang dikatakan tidak berbangga menjadi Melayu.Sebahagian dari para pembaca mungkin beranggapan ini hanyalah isu politik kepartian yang ditimbulkan bagi meningkatkan sokongan bagi meneruskan kelangsungan parti masing-masing agar nampak lebih relevan antara satu sama lain.Ada juga yang bersikap tidak campurtangan dan tak kisah bila isu Melayu bakal hilang kuasa diutarakan oleh bekas PM kita.
Bagi saya isu kuasa perlu diperbincangkan dengan serius kerana kuasa ini tidak boleh dijual beli, tiada dijual di mana-mana dan jika melayu hilang kuasa anda sendiri boleh membayangkannya kerana jika ulasan berlebihan di sini saya khuatir akan dilabel sebagai rasis. Jadi untuk renungan semua saya paste kan di bawah ini rencana dari Utusan Online untuk sama-sama kita fikirkan dan bincangkan kerana isu hilang kuasa bukan isu main-main.Mungkin sambil beraya dan berkunjung di rumah-rumah terbuka isu ini boleh dijadikan bahan perbualan, pembuka bicara selain kita berbincang tentang kuih semperit,almond london, kerongsang raya dan tudung baru lagi sedondon dengan baju raya yang berwarna warni macam air batu campur.
Jom baca:-
PRU-13 semakin hampir, Melayu masih belum sedar
Oleh Azman Anuar
CUKUP menarik kalau kita ‘membaca’ pemikiran dua tokoh – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang Melayu pada masa kini.
Terbaharu Dr. Mahathir melontarkan pandangan mengenai Melayu bakal hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.
Sebagai anak jati Kelantan, Datuk Nik Aziz pula berkata, beliau tidak berbangga pun jadi Melayu!
Kenyataan Dr. Mahathir mengenai Melayu hilang kuasa itu diselar oleh beberapa pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas. Mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu terus menerus meniupkan api perkauman.
Sebenarnya sebagai orang yang dianggap ultra Melayu, nasihat Dr. Mahathir tidak sepatutnya dikaitkan dengan unsur perkauman kerana kenyataan itu ditujukan kepada orang Melayu berdasarkan situasi sebenar apabila kuasa politik dipegang oleh DAP seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Malahan kebimbangan beliau itu pun bukan lagi setakat pada perasaannya sahaja tetapi ia benar-benar telah berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.
Contoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir sudah terjadi di depan mata kita. Beberapa pemimpin Melayu dijadikan boneka untuk menampakkan seolah-olah bangsa kita yang berkuasa. Hakikatnya, situasi itu cukup menyedihkan dan menyakitkan hati.
Jika ditakdirkan pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat, mungkin jawatan Perdana Menteri diberi kepada kalangan pemimpin Pas atau PKR.
Pun begitu, mereka hanya sebagai boneka sahaja kerana kuasa sebenar adalah di tangan DAP. Malah kita tidak terkejut jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan dipegang oleh DAP.
Berdasarkan pengamatan pemerhati politik, peluang Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sukar dijangkakan jika dilihat suasana yang belum menggalakkan dalam komponen BN.
Ada parti komponen BN sudah tidak menampakkan semangat berjuang dan ada pula yang asyik mementingkan kaum sendiri daripada berjuang membantu kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
Situasi bertambah sukar jika perpaduan Melayu masih gagal disatukan. Dr. Mahathir sudah banyak menyuarakan tentang pentingnya perpaduan antara orang Melayu.
Tetapi sesetengah pihak Melayu sendiri memandang remeh hinggakan kaum lain hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan agama Islam.
Sebab itu, orang Melayu yang insaf akan pentingnya maruah bangsa Melayu mengharapkan Nik Aziz dapat memandu orang Melayu ke arah perpaduan. Tetapi, harapan itu semakin pudar apabila Nik Aziz sendiri tidak berbangga menjadi Melayu.
Jika Tok Guru mendakwa tidak berbangga dengan ‘Melayunya’, apa lagi yang ada pada beliau? Tak mungkin beliau tak tahu bahawa para Nabi dan Rasul pun dipilih di kalangan bangsa tertentu. Takkan beliau minta dilahirkan sebagai orang Arab? Ini takkan berlaku kerana Tuhan sudah takdirkan beliau sebagai orang Melayu. Beliau patut bersyukur.
Sebagai insan Melayu, Nik Aziz juga ada peranannya yang tersendiri kepada orang Melayu selain perjuangan untuk agama Islam.
Tetapi, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas pula dihat sudah ‘melencong’ daripada perjuangan asal.
Banyak yang sudah kita baca, perjuangan Pas yang asalnya untuk menegakkan hukum Islam kini beralih kepada membela bangsa lain selari dengan perjuangan rakan kongsinya, DAP.
Perjuangan hukum hudud sudah tidak kedengaran lagi. Pas kini bagaikan menyokong tanpa berbelah bahagi apa yang dilakukan oleh DAP dalam menentang Melayu dan negara Islam yang ingin diperjuangankan Pas sendiri.
Kalau tindak-tanduk DAP itu disokong oleh Nik Aziz, maka bukan peliklah apabila beliau mengatakan tidak berbangga menjadi orang Melayu.
Malahan jika Nik Aziz benar-benar mengikut perintah Allah, pasti larangan Allah diketepikannya. Tetapi kenapa beliau sendiri yang mengkafirkan orang Islam yang lain?
Kenapa beliau mencarut? Kenapa menghalalkan wanita bukan Muslim masuk ke rumah Allah, sedangkan wanita Islam yang berhadas besar pun diharamkan berada di perkarangan surau atau masjid?
Kita berdoa agar Nik Aziz kembali sedar akan ‘keterlanjurannya’ demi menyatukan umat Melayu dan Islam negara ini.
Usaha menyatukan Melayu masih disuarakan oleh orang Melayu yang sedar hakikat perpaduan. Tetapi, sayangnya ia masih lagi di tahap bertatih, sedangkan masa semakin hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kepada pemimpin parti dan ahli politik Melayu, ingat-ingatlah nasib dan masa depan anak bangsa yang tidak memihak pada mana-mana parti politik dan belum layak untuk menjadi pengundi.
Jangan korbankan masa depan mereka kerana tamakkan kuasa. Jika bangsa bukan Melayu mementingkan survival bangsa mereka di negara ini tanpa mengira parti politik, kenapa tidak orang Melayu? Bersatulah!
Apa lagi orang melayu ,bersatulah cepat.
Pemimpin-pemimpin di atas tu cepat-cepat duduk semeja.
Jangan tuduh menuduh.
Rakyat berpecah jika pemimpin bertelagah.
Bersatulah, Sekarang bukan Esok Esok.Masa Tidak Menanti Kita.
Seniman Dato Jins Shamsuddin pernah menjodolkan beberapa filem tentang ESOK:-
JANGAN MENANTI HARI ESOK
MUNGKIN TIADA ESOK BAGIMU
Kalaulah ESOK MASIH ADA
Tapi kita tidak pasti ESOK UNTUK SIAPA.
Jumpa lagi
abangms
Langgan:
Catatan (Atom)