21.8.10

BUKA PUASA: BUFFET HALAL VS BUFFET HARAM!

Hari ni hari ke 11 kita berpuasa.
Pagi-pagi saya dah pegi hantar anak ke sekolah agama darjah khas. Kelas tu seminggu sekali iaitu tiap hari sabtu.Orang Johor tahulah bila disebut darjah khas.Orang luar Johor mungkin kurang faham. Darjah khas ni kira sekolah agama selepas darjah 6. Senang cite darjah 7 lah. Silibusnya boleh tahan tinggi juga bab-bab agama ni. Zaman dulu kalau ada sijil darjah khas dah boleh jadi cikgu sekolah agama. Jadi ustaz atau ustazah. Kalau ada majlis majlis memang sah kena baca doa. Harap-harap anak anak yang pernah pergi darjah khas agama Johor bila dah besar nanti tahulah bab-bab halal haram. Termasuk berita hangat sehari dua ni tentang bufet tidak halal di hotel-hotel.

Lepas menghantar anak ke sekolah saya balik ke rumah dan dalam perjalanan sempat singgah di kedai surat khabar. Tengok-tengok paper kalau-kalau ada cite baik.Tengok Utusan Malaysia. Belek-belek mukasurat 13. Tajuk hot "24 hotel diragui statusnya-anjur promosi Bufet Ramadan guna bahan tidak halal"

Pihak JAKIM telah listkan nama-nama hotel tu.Alamak.Ada jugak nama hotel tu yang selalu kita dengar. Rasanya pernah jugaklah saya ke sana. Apa dah jadi ni.Yang buka puasa semuanya orang kita..melayu..islam. Hotel-hotel tu pulak siapa punya..hai ni kes berat ni.. Janganlah menipu umat islam...

Malam tadi di TV pun heboh kisah bufet hotel tidak halal ni.
Jadi saya nak cadang pada kerajaan 1Malaysia ni agar melekatkan sticker status makanan di pintu masuk hotel.
Bak kata pepatah melayu
Kalau Padi Katakan Padi Jangan Kami Tertampi-tampi...
Kalau   Halal Katakan Halal Jangan Kami Tercari-cari.
Kalau hala kata halal...Kalau haram kata haram...jadi senang pengunjung buat pilihan. Jangan Halal + Haram=HALAM.
Soal makan minum tak boleh kompromi.Tak halal tak boleh makan. Kata orang islam.Ini orang islam suka makan minum kedai tak confirm halal tu dah kira islam surat beranak atau islam kad pengenalan...
Macam-macam islam ada ..dulu saya selalu saya dengar perkataan Islam Hadhari...Tapi sekarang  KADANG-KADANG je orang sebut...
Tengok list hotel tu rasanya berat jugak hati kita nak berkursus di hotel-hotel selepas ni... penganjur kena tengok betul2 dapur hotel tu..

Oklah kalau anda semua teringin jugak berbuka puasa di hotel tengok-tengoklah list kat JAKIM tu...jangan terkena..kuasa membeli ditangan anda..

Saya pernah jugak buka puasa di hotel...tapi KADANG-KADANG je..

Selamat berbuka petang ni....
Jangan lupa doa makan....

BACA ARTIKEL DARI UTUSAN ONLINE (21.08.2010)

24 hotel diragui statusnya


Oleh SHOLINA OSMAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati 24 hotel di Lembah Klang yang mengadakan promosi Bufet Ramadan telah menggunakan bahan yang diragui status halalnya.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut adalah daripada 34 hotel di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pahang dan Kedah yang telah dipantau oleh pihaknya sejak 1 Ramadan.
"Daripada jumlah tersebut, hanya dua hotel didapati memiliki sijil halal Jabatan Agama Islam negeri,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Wan Mohamad berkata, 24 hotel yang didapati menggunakan bahan tidak halal itu termasuklah One World Hotel First Avenue; Shah's Village Hotel; Prescoot Inn Kajang; Lagenda Cuisine Sdn. Bhd.; Oriental Crystal Kajang dan Eastin Hotel Petaling Jaya di Selangor.
Selain itu, hotel dan restoran di Selangor yang turut didapati tidak menepati status halal ialah Restoran Tupai-Tupai Kampung Sungai Tangkas, Bangi; Bangi Golf Restaurant dan The Saujana Kuala Lumpur, Subang.
Bagi Kuala Lumpur ialah Bistro & Theatre Restaurant di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC); Impiana KLCC Hotel & Spa; Hotel Equatorial; Hotel Nikko; Hotel Concorde; Novotel K.L City Center; Cititel Mid Valley; Kanpei Restaurant di Micasa All Suite Hotel dan The Zon All Suites Residences.
Premis lain di Kuala Lumpur ialah The Royale Bintang; R & B Services Berjaya Times Square Hotel; Hilton Kuala Lumpur; Le Meridien dan The Regency Hotel manakala di Putrajaya ialah Putrajaya Shangri-La.

Beliau berkata, antara yang ditemui termasuk penggunaan bahan mentah berasaskan alkohol, bahan ramuan yang diragui, bahan mentah yang tiada pengesahan halal, ayam daripada sumber yang tidak jelas, percampuran di antara bahan mentah halal dan tidak halal di kawasan penerimaan dan stor penyimpanan.
"Ini jelas membuktikan promosi Bufet Ramadan yang ditawarkan tidak menepati Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan 'Halal') 1975,'' katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan pengusaha hotel supaya tidak menyalahgunakan terma Bufet Ramadan yang boleh mengelirukan pengguna yang mengunjungi hotel untuk berbuka puasa.
Wan Mohamad berkata, Jakim akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada hotel-hotel ini pada setiap hari di sepanjang Ramadan.
Tambahnya, Jakim telah menerima 16 permohonan untuk mendapatkan sijil halal daripada hotel di seluruh negara sehingga di sepanjang Ramadan.
Katanya, daripada jumlah itu, sembilan hotel telah melengkapkan dokumen dan sedang diproses manakala tujuh lagi masih belum melengkapkan dokumen berkenaan.
Wan Mohamed berkata, sebanyak dua hotel telah diberikan sijil halal dalam bulan Ramadan ini iaitu JB Central, Johor dan Pearl International, Selangor.



2 ulasan:

  1. Tanpa Nama25 Ogos, 2010

    Saudara Sabilan,
    Ingin saya membuat cadangan sedikit mengenai blog saudara yang baru ini. Untuk lebih nampak menarik, elok sangat kalau diletakkan gambar-gambar berserta dengan rencananya. Baru menarik.

    Keep it up bro! Saya akan selalu menjenguk ke blog saudara ini. Selamat datang ke dunia bloggers!

    -SaMaRaNdA-

    BalasPadam
  2. tq di atas komen anda & bagilah link tuan SaMaRaNdA.

    BalasPadam