Apakahabar semua.
Apakhabar Malaysia,
Sihat dan selamat hendaknya.
Selamat membeli belah di masa-masa kecederaan sebelum raya dan selamat sampai pulang beraya ke destinasi masing masing...,mungkin pulang ke kampung dan ada juga yang pulang ke bandar beraya di kota kota dan ibukota.
Hari ini hari terakhir kita bersama ramadhan 1431H.Esok 1 syawal semua umat islam di Malaysia menyambut hari raya tanpa ragu-ragu atau was was kerana malam tadi penyimpan mohor besar telah mengumumkan tarikh hari raya pada jumaat 10 September 2010. Akhbar hari ini menyiarkan ada golongan yang menyambut hari raya lebih awal di Perlis dan telah dikenakan tindakan. Di TV dan akhbar juga sebelum ini kita diingatkan jangan percaya pada khabar angin yang menyatakan hari raya akan jatuh pada hari khamis 09 September 2010.
Kadang-kadang saya bingung memikirkan tentang kesepakatan umat islam pada hari ini. Kita melihat dalam skop Malaysia di mana umat islam menghadap kiblat yang sama ketika sembahyang ,melihat anak bulan,bulan dan matahari yang sama tetapi kita gagal bersepakat dalam penentuan tarikh menyambut hari raya. Seolah-olah pemikiran kita ini belum Merdeka walaupun kita baru saja menyambut kemerdekaan ke 53 baru-baru ini.Segala perkara perlu dipantau. Disuruh dan dimarahi.Tiada kesepakatan dalam banyak perkara.Ini baru soal penentuan tarikh hari raya. Bagaimana kita ingin bercakap soal kesepakatan dan perpaduan umat islam dan masa depan melayu dalam isu-isu ekonomi, politik, keselamatan, pertahanan dll? Sememangnya kesepakatan dan perpaduan ke atas sesuatu isu itu amat sukar dicapai samada dalam organisasi kecil hinggalah yang besar.Perpaduam dalam keluarga dalam isu pengagihan harta pusaka contohnya sering menemui jalan buntu.Perpaduan sesama kakitangan di sesebuah syarikat jarang-jarang terjalin.Perpaduan di dalam sesebuah parti politik agak sukar di capai. Perpaduan sesama umat islam masih dalam angan-angan. Belum tercapai lagi.Samada di peringkat nasional apatah lagi di pentas global. Oleh sebab itu umat islam hari ini kelihatan lemah. Lemah bukan kerana musuh islam terlalu kuat tetapi umat islam tiada kesepakatan.
Bilangan umat islam cukup besar.Tetapi kenapa lemah.Tiada kesepakatan.Umpama sebatang lidi tidak dapat berperanan selain sekadar menjadi pencucuk sate dan akan dibuang setelah sate selesai dimakan.Walau bagaimanapun sekumpulan lidi yang besar bilangannya jika dapat dipadukan dan diikat ianya akan menjadi penyapu yang pelbagai guna.Boleh menyapu apa saja samada di dalam rumah mahupun di luar rumah.Di peringkat nasional maupun di pentas global.Oleh itu perpaduan adalah segala-galanya.
Semoga aidilfitri kali ini kita bersalam-salaman serta bermaaf-maafan sesama umat islam dengan penuh keinsafan dan kesepakatan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Apa ertinya perbalahan jika yang menang jadi abu dan yang kalah jadi arang. Jangan menang sorak kampung tergadai.Jadikan aidilfitri kali ini sebagai titik permulaan perpaduan umat islam.Saya selalu menantikan pemimpin-pemimpin kita duduk semeja di aidilfitri bermaaf-maafan dan merintis jalan perpaduan.Mungkin kali ini pemimpin-pemimpin kita dari UMNO, PAS, PKR, PERKASA dll dapat beraya bersama,makan minum bersama,bermaaf-maafan demi kelangsungan umat islam, melayu di Malaysia tercinta ini. Sesungguhnya perpaduan adalah kunci kekuatan.Perpaduan kunci kejayaan.Rakyat menantikan perpaduan pemimpin-pemimpin islam dari pelbagai anutan politik keran rakyat adalah pengikut kepada pemimipin.Rakyat sememangnya minta didahulukan dalam pelbagai isu.
Rakyat terus berpecah jika pemimpin asyik bertelagah.
Lupakanlah sengketa lama kerana esok hari kita akan bersolat aidilfitri menghadap kiblat yang sama, allah yang satu.RAPATKAN SAF DI HADAPAN.
Kepada semua rakyat malaysia, rakan-rakan lama dan baru, rakan-rakan Facebook.
Saya merapatkan tangan dan menyusun sepuloh jari memohon kemaafan
jika ada terkasar bahasa, keterlanjuran bicara,keterlaluan cara
dalam penulisan artikel-artikel di blog ini sejak ia mula diterbitkan.
SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN
abangms
Terengganu DarulIman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan