23.10.10

UMNO MENJULANG EKONOMI MELAYU

Apakhabar Semua

Apakhabar Malaysia

Ekonomi melayu merupakan satu isu yang seringkali dibahaskan terutamanya dalam perhimpunan agung UMNO.Perhimpunan kali ini juga tidak terkecuali dari membahaskan isu tersebut. Semalam Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Datuk Dr Awang Adek Hussin membentangkan usul ekonomi yang mahu kerajaan membentuk PIPP iaitu Pelan Induk Pembangunan Bumiputera yang dibahaskan oleh beberapa perwakilan. Sila baca petikan dari Berita Harian Online seperti berikut:-

Julang ekonomi Melayu
Berita Harian :23/10/2010



KUALA LUMPUR: Perbahasan usul ekonomi pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 semalam mahu kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menjulang ekonomi orang Melayu termasuk membentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).

Ini sebagai panduan pelaksanaan dasar serta memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan serta mencapai sasaran.

Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata PIPB perlu dijadikan dasar membangunkan Bumiputera dalam pelbagai bidang dan memastikan urusan mengukur tanda aras dan sasaran pencapaian Bumiputera dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, usaha itu juga akan dapat memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan.

Kita berharap dengan pengawasan rasmi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, katanya.

Usul ekonomi itu kemudian disokong wakil Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan dibahaskan wakil UMNO negeri serta sayap parti sebelum diluluskan.

Sebelum itu, perwakilan turut meluluskan usul ucapan dasar Presiden selepas sesi perbahasan bersambung awal pagi semalam dengan enam lagi wakil UMNO negeri, termasuk wakil Puteri UMNO serta wakil Kelab UMNO mengambil bahagian.

Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.

Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.

Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, katanya.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.

Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.

Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti



ULASAN

Sebenarnya saya bukanlah berhasrat mencampuri urusan parti UMNO yang mencadangkan dan membahaskan usul tersebut.Saya bukanlah orang politik yang hendak menyibuk tentang mana-mana parti kerana minat saya dalam politik telah terpadam sejak tahun 1999 dahulu.Walau pun ada rakan-rakan saya yang masih aktif berpolitik dan memegang jawatan-jawatan di dalam parti peringkat cawangan dan bahagian samada UMNO atau parti lain saya masih belum berminat untuk aktif walaupun dipelawa oleh kawan-kawan.Walau bagaimanapun menjadi pemerhati dan mengikuti perkembangan politik sememangnya menjadi minat saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Oleh itu bila isu ekonomi melayu dibicarakan saya berasa amat terpanggil untuk turut serta memberikan pandangan. Tambahan pula rutin kerjaya harian saya sentiasa bergelumang dengan usahawan, peniaga, petani khususnya kaum melayu. Kadang-kadang saya terpaksa mendengar keluhan dan permasalahan mereka dalam persaingan perniagaan dan cabaran persekitaran perniagaan masa kini.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera.Pelbagai agensi telah diwujudkan seperti MARA, TEKUN, pelbagai jabatan dan agensi. Dulu ada MPUD (Majlis Pembangunan Usahawan Daerah) di bawah KPU yang telah dibubarkan dan kini ada MPPP (Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen). Penguasaan peniaga dan usahawan rasanya masih tidak banyak berubah.Pemilikan hartanah bumiputera di bandar-bandar seperti pemilikan rumah kedai masih rendah. Apa sebenarnya yang menyebabkan bumiputera sukar maju ke depan dalam penguasaan ekonomi.

Saya berminat mengulas dari sudut peniaga dan usahawan IKS serta usahawan tani. Sudut yang lain seperti kontraktor dan penguasaan GLC dalam kek ekonomi kita bincangkan di episod lain.

Bagi pengusaha IKS bumiputera antara masalah mereka ialah pasaran ke atas produk yang dihasilkan.Usahawan IKS hari ini telah pandai menghasilkan produk berkualiti melalui tunjuk ajar dan kursus oleh agensi-agensi kerajaan seperti MARDI, MARA,Pusat Giat MARA, Jabatan Belia & Sukan, Jabatan Pertanian, KEMAS dan lain-lain.

Banyak produk-produk berkualiti berjaya dihasilkan dari roti dan kek sehinggalah produk berasaskan teknologi dan kejuruteraan.

Walau bagaimanapun ke mana mereka nak menjual produk mereka jika jumlah pengeluaran telah membesar. Skala Besar. Pasaraya, Hypermarket? Dimanakah letaknya produk bumiputera di sana? Jika pasaraya besar membeli produk-produk tersebut bayaran secara kredit biasanya memakan masa selama 3 hingga 6 bulan malah lebih lagi. Jadi ini bakal menimbulkan isu kecairan aliran tunai kepada pengusaha IKS. Tak boleh tahan sebab payment lambat itulah keluhan mereka jika ditanya kenapa mereka tidak menjual produk ke pasaraya besar.

Bagi golongan petani pula hasil pertanian berskala besar agak sukar dipasarkan selain dari harga ladang yang tidak menentu. Memang kita ada FAMA. Tetapi sejauhmanakah FAMA dapat membeli hasil keluaran pertanian. Bolehkah FAMA membeli hasil keluaran 200 ekar tanaman roselle secara konsisten setiap bulan?Itu baru satu jenis tanaman.Bagaimana dengan durian,pulasan,rambutan yang kerapkali kering di atas pokok! Sayur-sayuran ?Ke mana nak jual dengan harga yang munasabah?

Sekali lagi saya nyatakan maklumat dan maklumbalas dari para pengusaha IKS dan petani di peringkat rakyat bawahan ini atau diistilahkan sebagai peringkat akar umbi ialah PASARAN...ya... PASARAN..

Maksud saya ialah pasara terbuka. Pasaran kerajaan melalui tender dan sebutharga memang telah ada untuk bumiputera tetapi persaingan di kalangan kontraktor bekalan sesama sendiri mewujudkan harga yang rendah dan kurang menguntungkan.

Seorang sahabat saya berpendapat agar usahawan IKS melayu memasarkan produk mereka di pasar-pasar tani dan pasar malam. Itu betul.Saya setuju.Tetapi bagaimana jika perusahaan telah berskala besar. Tak kanlah pasar tani dapat menampung produk yang banyak. Kenapa pula nak berskala besar.Ya perlu berskala besar sebab kita nak menguasai ekuiti 30% ke atas.Kalau skala kecil sampai bila nak dapat menguasai 30%? Bila besar tak boleh jual...itulah masalahnya...itulah isunya...bukan melayu tak pandai atau melayu malas...

Oleh itu saya menyarankan agar pemimpin-pemimpin UMNO memikirkan penubuhan rangkaian pasaraya dan hypermarket untuk memasarkan produk-produk IKS dan pertanian keluaran orang melayu.Ini perlu kerana bidang pengeluaran atau pembuatan produk memberi pulangan margin atau keuntungan yang tinggi.

Kita lihat bagaimanakah usahawan bangsa lain mempunyai jaringan pemasaran yang kukuh dalam apa jua produk. Contohnya pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan. Barulah mereka boleh mengembangkan perniagaan lain sebab modal semakin kukuh. Usahawan kita masih di takuk lama walaupun isu ekonomi melayu telah dijeritkan saban tahun dalam perhimpunan-perhimpunan melayu.

Sesungguhnya bercakap dan berteori sahaja di dalam perniagaan tidak menjanjikan apa-apa jika kita gagal menguasai pasaran....

Jumpa lagi





Tiada ulasan:

Catat Ulasan