31.10.10

KELANTAN JUARA PIALA MALAYSIA 2010

  
Kelantan Juara Piala Malaysia 2010
Separuh masa pertama Kelantan ketinggalan 0-1.
Kelantan bangkit di separuh masa kedua dan akhirnya menundukkan Negeri Sembilan 2-1
Mencipta Sejarah itulah ungkapa pihak media tentang kejayaan Kelantan ini.
Cerita dan babak perlawanan di atas nampak macam biasa. Biasalah dalam bolasepak menang kalah atau seri. Apa nak dihairankan.Apasal nak ditulis diblog. Tak ada cerita lain ke! Mungkin itu yang bermain di fikiran anda.
Apa yang ingin saya kongsikan ialah moral atau tauladan disebalik kejayaan pasukan Kelantan menjuarai Piala Malaysia malam tadi setelah 4 kali memasuki perlawanan akhir
Untuk mencapai sesuatu kemenangan atau kejayaan dalam apa jua bidang anda perlu berpegang kepada beberapa prinsip berikut:-
1.Jangan mudah putus asa walaupun di peringkat awal kita kurang berjaya.
2.Rajin dan usaha tangga kejayaan
3.Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya.
4.Teamwork atau semangat kerja berpasukan perlu untuk mencapai kejayaan.

Semoga semangat pasukan Kelantan dicontohi oleh pasukan kebangsaan kita.
Apapun tahniah juga buat pasukan Negeri Sembilan yang menjadi naib juara kerana berjaya ke final.

Jumpa lagi
abangms






23.10.10

UMNO MENJULANG EKONOMI MELAYU

Apakhabar Semua

Apakhabar Malaysia

Ekonomi melayu merupakan satu isu yang seringkali dibahaskan terutamanya dalam perhimpunan agung UMNO.Perhimpunan kali ini juga tidak terkecuali dari membahaskan isu tersebut. Semalam Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Datuk Dr Awang Adek Hussin membentangkan usul ekonomi yang mahu kerajaan membentuk PIPP iaitu Pelan Induk Pembangunan Bumiputera yang dibahaskan oleh beberapa perwakilan. Sila baca petikan dari Berita Harian Online seperti berikut:-

Julang ekonomi Melayu
Berita Harian :23/10/2010



KUALA LUMPUR: Perbahasan usul ekonomi pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 semalam mahu kerajaan mengambil langkah lebih agresif bagi menjulang ekonomi orang Melayu termasuk membentuk Pelan Induk Pembangunan Bumiputera (PIPB).

Ini sebagai panduan pelaksanaan dasar serta memastikan pemantauan dan penyelarasan agenda Bumiputera, terutama dalam bidang ekonomi dapat dilaksanakan secara berkesan serta mencapai sasaran.

Ketika membentangkan usul ekonomi, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata PIPB perlu dijadikan dasar membangunkan Bumiputera dalam pelbagai bidang dan memastikan urusan mengukur tanda aras dan sasaran pencapaian Bumiputera dilaksanakan secara lebih sistematik sambil dipantau Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan Perdana Menteri

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO berkata, usaha itu juga akan dapat memastikan Bumiputera mencapai matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) tanpa sebarang halangan.

Kita berharap dengan pengawasan rasmi MTAB terhadap agenda membantu Bumiputera di semua kementerian dan jabatan, ekonomi dapat ditransformasi menjadi ekonomi moden dan kompetitif, selaras MBE yang inklusif, katanya.

Usul ekonomi itu kemudian disokong wakil Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim dan dibahaskan wakil UMNO negeri serta sayap parti sebelum diluluskan.

Sebelum itu, perwakilan turut meluluskan usul ucapan dasar Presiden selepas sesi perbahasan bersambung awal pagi semalam dengan enam lagi wakil UMNO negeri, termasuk wakil Puteri UMNO serta wakil Kelab UMNO mengambil bahagian.

Razali ketika menyokong usul ekonomi berkata, penubuhan MTAB yang menetapkan 30 peratus KPI untuk sesiapa yang menganggotainya bagi memastikan pemilikan ekonomi Melayu dan Bumiputera tercapai, adalah tepat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan menggariskan tiga syor, termasuk mewujudkan Inisiatif Perkongsian Tulen dengan memilih individu, syarikat, kesatuan atau Bumiputera yang layak untuk mewakili Melayu.

Namun, beliau mencadangkan MTAB diasingkan daripada agensi kerajaan supaya tidak mengulangi kesalahan lalu seperti penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dinikmati pihak lain.

Kita tidak mahu akhirnya Melayu tidak nampak apa yang UMNO buat. Kita juga tidak mahu orang lain tanam, orang lain menuai kerana rakyat tidak memahami apa yang dilakukan, menyebabkan mereka tidak menghargai sumbangan UMNO, katanya.

Sementara itu, wakil Wanita UMNO, Sharifah Azizah Syed Zin, berkata berdasarkan komposisi kaum, kuota ekuiti Bumiputera sepatutnya dinaikkan sehingga 60 peratus dan tidak boleh dipertikaikan kaum lain berikutan kuota 30 peratus yang ditetapkan belum mencapai sasaran.

Wakil UMNO Johor, Ayub Jamil, pula mendesak kerajaan supaya segera melakukan tindakan susulan ke atas semua rancangan membangunkan ekonomi Melayu kerana ketika ini sudah wujud anggapan parti terbesar Melayu itu hanya hebat pada dokumen, tetapi gagal melaksanakannya.

Wakil UMNO Pahang, Suhaimi Sulong, berkata pelan induk itu dan MTAB seharusnya memantau program berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

Wakil Pulau Pinang, Muhamad Farid Saad, berkata masyarakat luar bandar perlu dibela kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti



ULASAN

Sebenarnya saya bukanlah berhasrat mencampuri urusan parti UMNO yang mencadangkan dan membahaskan usul tersebut.Saya bukanlah orang politik yang hendak menyibuk tentang mana-mana parti kerana minat saya dalam politik telah terpadam sejak tahun 1999 dahulu.Walau pun ada rakan-rakan saya yang masih aktif berpolitik dan memegang jawatan-jawatan di dalam parti peringkat cawangan dan bahagian samada UMNO atau parti lain saya masih belum berminat untuk aktif walaupun dipelawa oleh kawan-kawan.Walau bagaimanapun menjadi pemerhati dan mengikuti perkembangan politik sememangnya menjadi minat saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Oleh itu bila isu ekonomi melayu dibicarakan saya berasa amat terpanggil untuk turut serta memberikan pandangan. Tambahan pula rutin kerjaya harian saya sentiasa bergelumang dengan usahawan, peniaga, petani khususnya kaum melayu. Kadang-kadang saya terpaksa mendengar keluhan dan permasalahan mereka dalam persaingan perniagaan dan cabaran persekitaran perniagaan masa kini.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan telah merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera.Pelbagai agensi telah diwujudkan seperti MARA, TEKUN, pelbagai jabatan dan agensi. Dulu ada MPUD (Majlis Pembangunan Usahawan Daerah) di bawah KPU yang telah dibubarkan dan kini ada MPPP (Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen). Penguasaan peniaga dan usahawan rasanya masih tidak banyak berubah.Pemilikan hartanah bumiputera di bandar-bandar seperti pemilikan rumah kedai masih rendah. Apa sebenarnya yang menyebabkan bumiputera sukar maju ke depan dalam penguasaan ekonomi.

Saya berminat mengulas dari sudut peniaga dan usahawan IKS serta usahawan tani. Sudut yang lain seperti kontraktor dan penguasaan GLC dalam kek ekonomi kita bincangkan di episod lain.

Bagi pengusaha IKS bumiputera antara masalah mereka ialah pasaran ke atas produk yang dihasilkan.Usahawan IKS hari ini telah pandai menghasilkan produk berkualiti melalui tunjuk ajar dan kursus oleh agensi-agensi kerajaan seperti MARDI, MARA,Pusat Giat MARA, Jabatan Belia & Sukan, Jabatan Pertanian, KEMAS dan lain-lain.

Banyak produk-produk berkualiti berjaya dihasilkan dari roti dan kek sehinggalah produk berasaskan teknologi dan kejuruteraan.

Walau bagaimanapun ke mana mereka nak menjual produk mereka jika jumlah pengeluaran telah membesar. Skala Besar. Pasaraya, Hypermarket? Dimanakah letaknya produk bumiputera di sana? Jika pasaraya besar membeli produk-produk tersebut bayaran secara kredit biasanya memakan masa selama 3 hingga 6 bulan malah lebih lagi. Jadi ini bakal menimbulkan isu kecairan aliran tunai kepada pengusaha IKS. Tak boleh tahan sebab payment lambat itulah keluhan mereka jika ditanya kenapa mereka tidak menjual produk ke pasaraya besar.

Bagi golongan petani pula hasil pertanian berskala besar agak sukar dipasarkan selain dari harga ladang yang tidak menentu. Memang kita ada FAMA. Tetapi sejauhmanakah FAMA dapat membeli hasil keluaran pertanian. Bolehkah FAMA membeli hasil keluaran 200 ekar tanaman roselle secara konsisten setiap bulan?Itu baru satu jenis tanaman.Bagaimana dengan durian,pulasan,rambutan yang kerapkali kering di atas pokok! Sayur-sayuran ?Ke mana nak jual dengan harga yang munasabah?

Sekali lagi saya nyatakan maklumat dan maklumbalas dari para pengusaha IKS dan petani di peringkat rakyat bawahan ini atau diistilahkan sebagai peringkat akar umbi ialah PASARAN...ya... PASARAN..

Maksud saya ialah pasara terbuka. Pasaran kerajaan melalui tender dan sebutharga memang telah ada untuk bumiputera tetapi persaingan di kalangan kontraktor bekalan sesama sendiri mewujudkan harga yang rendah dan kurang menguntungkan.

Seorang sahabat saya berpendapat agar usahawan IKS melayu memasarkan produk mereka di pasar-pasar tani dan pasar malam. Itu betul.Saya setuju.Tetapi bagaimana jika perusahaan telah berskala besar. Tak kanlah pasar tani dapat menampung produk yang banyak. Kenapa pula nak berskala besar.Ya perlu berskala besar sebab kita nak menguasai ekuiti 30% ke atas.Kalau skala kecil sampai bila nak dapat menguasai 30%? Bila besar tak boleh jual...itulah masalahnya...itulah isunya...bukan melayu tak pandai atau melayu malas...

Oleh itu saya menyarankan agar pemimpin-pemimpin UMNO memikirkan penubuhan rangkaian pasaraya dan hypermarket untuk memasarkan produk-produk IKS dan pertanian keluaran orang melayu.Ini perlu kerana bidang pengeluaran atau pembuatan produk memberi pulangan margin atau keuntungan yang tinggi.

Kita lihat bagaimanakah usahawan bangsa lain mempunyai jaringan pemasaran yang kukuh dalam apa jua produk. Contohnya pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan. Barulah mereka boleh mengembangkan perniagaan lain sebab modal semakin kukuh. Usahawan kita masih di takuk lama walaupun isu ekonomi melayu telah dijeritkan saban tahun dalam perhimpunan-perhimpunan melayu.

Sesungguhnya bercakap dan berteori sahaja di dalam perniagaan tidak menjanjikan apa-apa jika kita gagal menguasai pasaran....

Jumpa lagi





JANGAN PERSOAL HAK MELAYU (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan)

Apakhabar Semua,
Apakhabar  Malaysia,

Sehari dua ini suasana agak berjerebu. Persekitaran kelam dan kadangkala kelabu.Tidak jelas pandangan dan amat menyukarkan pemandu kenderaan. Di Muar sekolah terpaksa ditutup kerana jerebu mencapai paras bahaya.
Sepanjang minggu ini juga tumpuan umum dan media massa mula beralih dari isu bajet 2011 kepada perhimpunan agung UMNO. Sama ada anda setuju dengan UMNO atau tidak setuju, setiap malam berita perdana di kaca TV menyiarkan liputan dari PWTC dan anda  pasti menontonnya kecuali anda menukar siaran ke saluran lain. Bagi saya liputan tersebut perlu juga diikuti oleh rakyat.Ada isu-isu yang dibahaskan perlu difikirkan dan mungkin dibahaskan semula di peringkat rakyat bawahan sama ada di warung-warung kopi, serambi pejabat-pejabat mahupun di blog-blog politik dan laman sosial.Saya melihat sebagai rakyat kita perlu mendengar pandangan, pendapat,hujah dan rencah dari parti pemerintah dan parti pembangkang. Setelah membuat pertimbangan barulah kita membuat pilihan terbaik.Janganlah kita cepat melatah dan taksub kepada sebelah pihak sahaja. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin yang berdegar-degar mengkritik sesebuah parti lain tiba-tiba melompat ke parti yang pernah dikritik semahu-mahunya. Yang melopong dan ternganga ialah para penyokong yang kadangakala tak faham apa-apa atau berpolitik secara ikut-ikutan saja. Ikut kawan.... istilah anak saya di darjah 2. Oleh itu kita kena rasional dan mendengar pandangan kesemua pihak kawan atau lawan.
Sepanjang perhimpunan UMNO kali ini ada satu isu yang telah diucapkan oleh pemimpin UMNO dan penting untuk anda semua fahami.Isu yang ingin saya kongsikan ialah isu HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN. Di bawah ini disertakan ulasan dari seorang Prof Madya dari sebuah universiti tempatan untuk renungan anda semua. Rencana bertajuk Jangan Persoal Hak Melayu ini dipetik dari Utusan Online:-

Jangan persoal hak Melayu

Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.
Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.
Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.
"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."
Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."
Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.
Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:
1. Perkara 38 (5)
2. Perkara 10 (4)
3. Perkara 8 (2)
4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."
Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.
Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.
Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.
Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'
Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.
Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.
Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.
Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.
Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.
Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.
Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.
Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid
Sekolah Sains Sosial,
Universiti Malaysia Sabah

Setelah membaca rencana di atas saya berharap agar pemahaman anda tentang isu hak melayu dan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah jelas dan tidak berjerebu lagi kerana suasana jerebu di Muar dan kawasan-kawasan yang senasib dengannya telah beransur pulih. Golongan yang masih tak berpuashati perlulah membuat homework dengan merujuk beberapa tajuk/bab dalam Perlembagaan Persekutuan seperti
Perkara 38 (5),Perkara 10 (4), Perkara 8 (2)  yang dinyatakan di atas.

Salam hujung minggu.

16.10.10

BAJET 2011



Komen-komen tentang BAJET 2011



Penganalisis Politik dan Ekonomi :BUKAN BAJET PILIHANRAYA(KLIK)



APA PULA KOMEN ANDA SEMUA?

Intipati Bajet 2011
KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat:-
PM dan TPM

* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.

* Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.

* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.

* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.

* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.

* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.

* Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.

* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.
* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.

* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.

* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.
* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.
* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.

* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.
* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.

* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

* Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.
* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.
* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.
* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.
* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.
* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.
* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.
* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.
* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.
* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.
* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.
* Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.

* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.

* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.
* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.
* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.

* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.

* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.

* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.

* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

* Mewujudkan "Portal 1Malaysia Pengguna Bijak".

* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.

* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.

* Melancarkan Dana Pencen Swasta.

* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.

* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.

* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.

* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.
* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.

* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.
* Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.

* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.

* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli.
- BERNAMA
Info-info ini  dari Berita Harian Online

10.10.10

10.10.2010 & PENGANTIN BARU

Apakhabar semua
Apakhabar Malaysia
Hari ini 10.10.2010
tarikh pilihan para pengantin baru, SELAMAT PENGANTIN BARU

Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor 
turut memilih 10.10.2010 sebagai tarikh perkahwinannya
 Foto dari Mstar Online

9.10.10

BILA KAMBING TERSENYUM

Kartun dari UtusanOnline

JERMAN,JEPUN DAN JAWA ( 3 J YANG MENAWAN DUNIA )

Apakahabar Semua,
Apakhabar Malaysia,

Masih sibuk lagi dengan open house, rumah terbuka hari raya? Semoga anda terus bersabar melayani jemputan-jemputan majlis rumah terbuka/ jamuan terbuka hari raya.
Semalam saya menghadiri rumah terbuka dari pagi hingga malam.Penat tapi seronok.Minggu ini mungkin tiada lagi jemputan rumah terbuka tetapi kadangkala selepas bulan syawal pun masih ada lagi majlis jamuan hari raya.Nampaknya majlis-majlis sebegitu telah menjadi tradisi dan budaya orang kita.
Tamat post-post tentang rumah tebuka dan cerita hari raya.Kita tukar topik, bab, tajuk, post lain di blog ini kerana syawal berlalu pergi semoga berjumpa lagi di tahun depan.
Akhir-akhir ini saya melihat keasyikan orang kita tentang perebutan KUASA.Berebut jawatan.Lobi-melobi. Kempen mengempen. Undi-Mengundi. Pilih Memilih. Masing-masing merasakan mereka yang terbaik dan patut dipilih.Contohnya pemilihan pimpinan PKR, pemilihan ADUN Galas di Kelantan (penyandangnya telah meninggal dunia).
Di seseterngah organisasi pula perebutan menduduki kerusi atau jawatan jawatan penting juga sedang berlaku. Masing-masing mendakwa mereka yang paling layak walaupun umum melihat sebaliknya.Mendakwa layak tetapi setelah terpilih kurang inovasi dan gagal memberi sentuhan-sentuhan ajaib untuk kemajuan dan pembangunan tempat yang dipimpinnya. Bercakap tapi kurang bertindak atau pun bertindak tapi kurang berhasil. Kata sahabat lama saya ,kadang -kadang kita ni banyak buat kerja tapi tak ada hasil.
Cerita tentang kuasa saya teringat tentang kuasa-kuasa yang menawan dunia. Ada 3 kuasa besar yang menawan dunia dan ketiga-tiganya bermula dengan huruf J.Dua J telah menawan dunia dan satu J lagi masih menjadi tandatanya! J adalah hurum rumi ....kalau tulisan jawi bermula dengan huruf JIM.
Perang Dunia pertama kuasa J yang menguasai sebahagian dunia ialah Jerman.Perang dunia kedua kuasa J yang menggoncang dan menggegar dunia datangnya dari Asia iaitu Jepun.Banyak negara dijajah dan ditakluk termasuklah Malaysia.Setelah gugurnya bom atom di Horoshima dan Nagasaki barulah J tersebut berundur dan menyerah kalah lantas meninggalkan Malaysia.Kesan sejarah dan peninggalan Jepun di Malaysia masih kekal hingga hari ini dan salah satu yang masih dan terus popular ialah SELIPAR JEPUN.
Begitu juga dengan kereta buatan Jepun yang banyak memenuhi jalan-jalanraya dan jalan-jalan kampung seluruh negara.
Biarkan 2 J itu menjadi sejarah.Yang baik jadi tauladan yang buruk jadi sempadan.Setiap peristiwa itu ada hikmah di sebaliknya. Sama ada kita dijajah atau menjajah. Sama ada kita berkuasa atau tidak berkuasa. Asalkan jangan gila kuasa.
Yang saya nak kongsi dengan anda ialah siapakah J seterusnya yang akan menawan dunia.Hasil soal selidik dan tinjauan rambang saya mendapati rata-rata mengatakan selepas ini J yang akan menawan dunia ialah JAWA. Jawa yang bagaimana? Pulau Jawa atau insan-insan berketurunan Jawa.Orang jawa tidak kira di mana jua dijangka bakal menguasai dunia. Rakan-rakan saya yang berketurunan JAWA sangat bersetuju dengan saya manakala yang bukan berketurunan JAWA masih bersikap berkecuali. Atas pagar kata orang politik. Ada juga yang tidak bersetuju semata-mata kerana mereka bukan berketururnan Jawa.
Anda bagaimana?
Setuju ke Jawa bakal menjadi J seterusnya yang akan menawan dunia?

Banyak hujah dan rencah tentang pencapaian orang Jawa masakini di Malaysia baik dari segi ekonomi, pemegangan posisi penting di pelbagai sektor awam amaupun swasta dan dalam  kepimpinan politik negara. Bekas MB Selangor dan Tan Sri TPM mungkin setuju dengan saya..Banyak lagi kisah kejayaan Jawa yang belum dibincangkan...

Di post-post akan datang mungkin boleh kita bincangkan isu kenapa dan mengapa Jawa bakal menawan dunia.Apa rasional kenyataan tersebut.Adakah ianya hanya ilusi para blogger atau lebih dari itu?

jumpa lagi

p/s: Tahukah anda bahawa Sate dan Soto adalah makanan warisan Jawa yang menghiasi meja makan rumah-rumah terbuka hari raya di Malaysia. Mungkin juga rumah anda?
 

3.10.10

MODEL BARU EKONOMI (MBE): TERJAMINKAH HAK MELAYU?

Apakhabar semua,
Apakhabar Malaysia,
Masih beraya lagi? Teruskan kunjungan anda.Rumah terbuka sana-sini.Sibuk dalam kesibukan.
Pagi-pagi saya melihat akhbar-akhbar utama.Isu Melayu dan MBE.Apa MBE tu?Macam no plat kenderaan di negeri Melaka je nampaknya.
MBE=Model Baru Ekonomi.
Ada 12 perkara penting perlu anda tahu dalam MBE tu.Sesetengah orang risau kalau kalau MBE mengenepikan Melayu, meminggirkan Melayu lantas menyingkirkan Melayu dari arus kepesatan ekonomi Malaysia tercinta ini. Bagi merungkai kerisauan tersebut pemimpin harapan masa depan iaitu TPM kita ada jawapan mengenainya.Ada berita gembira tentangnya.Utusan Online memuatkan berita dan cerita itu.

Jom Baca.

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Orang Melayu dan bumiputera tidak perlu khuatir dengan kedudukan hak mereka dalam Model Baru Ekonomi (MBE) kerana ia akan terus dilindungi, tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun ia tidak dihuraikan secara terperinci, terangkum di dalam model berkenaan adalah aspek penyertaan usahawan Melayu dan bumiputera.
Katanya, pemimpin Melayu dan bumiputera juga sedia maklum bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa kerajaan menjadikan perkara berkenaan satu komitmen.
"Saya sendiri menerima maklum balas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pengusaha bumiputera yang melawat dari satu galeri ke satu galeri pada hari terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini dan mereka bertanya di mana agenda bumiputera?
"Pastinya kita tidak jelaskan itu tapi tanpa menghuraikannya satu persatu (sekalipun), pastinya pimpinan ekonomi Melayu tahu bahawa penglibatan bumiputera dalam MBE telah menjadi komitmen yang dinyatakan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan ringkas pada Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay, Presiden DPMM, Syed Ali Al Attas dan Timbalannya, Datuk Muhammad Alayuddin.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan makmal 'Agenda Melayu' oleh DPMM sebagaimana diumumkan oleh Syed Ali dalam ucapan alu-aluannya.
Beliau yakin inisiatif DPMM itu selari dengan kehendak pimpinan kerajaan yang mahu memastikan dasar afirmatif terhadap orang Melayu dan bumiputera kekal dalam MBE.
Beliau berkata, apa yang lebih penting pimpinan DPMM boleh membantu kerajaan menterjemahkan hasrat berkenaan secara terperinci.
"Sebab itu kita mahu pengusaha bumiputera berganding bahu mengambil ini (MBE) sebagai satu tawaran dan bukan sebagai cabaran.
"Melaluinya, kita berpeluang meneliti secara dekat bagaimana masyarakat bumiputera boleh terlibat dalam 12 NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) yang telah dikenal pasti," katanya.
NKEA yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) adalah minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborongan dan peruncitan, pendidikan, penjagaan kesihatan, komunikasi, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Daripada 12 NKEA itu, 11 daripadanya membabitkan sektor industri dan satu - Greater Kuala Lumpur - adalah kawasan geografi.


Melayu Boleh!

Jumpa lagi

2.10.10

PENGHUJUNG SYAWAL YANG SIBUK

Apakhabar semua,
Apakhabar Malaysia,

Syawal menghampiri penghujungnya
Kita terus sibuk dan buat-buat sibuk.......rumah sibuk, jalanraya sesak.
Sibuk dengan rumah terbuka. Semoga kita sentiasa bersikap terbuka.
Berlapang dada dalam menghadapi segalanya.Kesenangan dan kepayahan, suka duka sepanjang syawal.
Jangan hanya rumah selalu terbuka tapi hati kita selalu tertutup...
Pendek saja post saya hari ini kerana hari ini saya ada berbelas jemputan rumah terbuka yang perlu dikunjungi...siang rumah rakyat kebanyakan..malam ini rumah seorang Timbalan Menteri...kena pergi semuanya...mengeratkan silatulrahim...tanpa mengira perbezaan fahaman politik...samada UMNO,PAS,PKR kita rakyat Malaysia...kunjung mengunjung membawa bahagia...

Jumpa Lagi.