26.9.10

PROGRAM TRANSFORMASI EKONOMI (ETP): APA KOMEN DATO' SALLEH MAJID!

Apakhabar semua! Apakhabar Malaysia

Transformasi atau pakej rangsangan ekonomi?


DI sebalik kehangatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, rakyat Malaysia dialihkan seketika minggu ini dengan topik yang tidak kurang hangatnya iaitu Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Perkara ini mendapat lebih tumpuan semua pihak kerana dicanang sebagai pelan drastik membawa ekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun akan datang, seterusnya mencapai status negara maju menjelang 2020.
Penjelasan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala di hadapan 3,000 peserta pelbagai kaum menyatakan bahawa ETP menerusi 12 bidang utama ekonomi nasional telah mengenal pasti 131 pintu masuk projek untuk menghasilkan AS$444 bilion (RM1.4 trilion) yang diperlukan dari sektor swasta untuk mentransformasikan negara menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) yang bertanggungjawab membantu Idris memperincikan sumber pelaburan RM1.4 trilion tersebut untuk tempoh 10 tahun akan datang dari pecahan sebanyak 60 peratus pelaburan sektor swasta, 32 peratus syarikat-syarikat kerajaan (GLC) dan kerajaan sebanyak lapan peratus.
Melalui ETP nanti, kita dijanjikan dengan peningkatan Pendapatan Kasar Nasional (GNI) sebanyak tiga kali ganda dari RM660 bilion pada 2009 kepada RM1.7 trilion pada 2020. Kesannya dijangka membawa pendapatan per kapita GNI dari RM20,770 (AS$6,700) kepada sekurang-kurangnya RM46,500 (AS$15,000) seperti digariskan Bank Dunia sebagai status pendapatan tinggi.
Kesemua sumber pelaburan swasta itu merentasi 12 bidang ekonomi iaitu tenaga, minyak dan gas, kelapa sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik, pemborong dan peruncitan, pendidikan, kesihatan komunikasi dan infrastruktur, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.
Memang menarik idea-idea tersebut seperti mana kita pernah mendengar projek koridor, program kluster BCIC-2 dan macam-macam seumpamanya dengan pemimpin-pemimpin sebelum ini tetapi akhirnya langsung tidak memberi kesan yang besar dan mendalam terutama rakyat jelata.
Sebagai rakyat, kita memang menyokong apa juga usaha untuk memaju dan memakmurkan negara. Cuma kita perlu memastikan keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar bagi mengelakkan kegagalan.
Malah jika tersilap langkah, perjalanannya akan menjadi ‘ibarat pisau makan tuan’ kepada kerajaan yang memerintah apabila rakyat marhaen merasakan mereka tidak sama sekali merasai nikmatnya hingga kerajaan dituduh dengan pelbagai anggapan negatif sekali gus membawa keruntuhan politik seperti PRU-12.
Peluang mendengar cakap-cakap hadirin yang hadir dalam taklimat ETP dan peminat-peminat ekonomi mengulas dalam pelbagai sumber media mungkin memberikan kita semua respons sebenar tentang kesamaran dan tahap keyakinan masyarakat umum terhadap idea ETP.
Antaranya ialah definisi penglibatan sebenar pihak swasta dan pelaburan yang tiba-tiba melonjak kepada RM1.4 trilion pada 2020, sedangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan pelaburan swasta sebanyak RM535 bilion.
Persoalan yang dirungutkan ialah apakah benar-benar pihak swasta akan memainkan peranan utama dengan sejumlah pelaburan tersebut untuk jangka masa 10 tahun akan datang dan siapakah mereka itu?
Bagi sesetengah penganalisis, lawak tersebut pernah dicetuskan dalam projek koridor dan beberapa transformasi kepimpinan terdahulu tetapi akhirnya pihak kerajaan juga lebih memainkan peranan berbanding sektor swasta.
Akhirnya hanya GLC yang bertungkus-lumus membangunkan koridor hingga ada yang mengalami kerugian besar dalam keseluruhan projek dalam dan luar negara. Apakah penglibatan GLC ini sebagai sektor swasta tulen ataupun akhirnya menjadi sebahagian besar sumber pelaburan adalah dari kerajaan?
Cakap-cakap juga memberi contoh cadangan membangunkan pangkalan udara Sungei Besi menggunakan Dana Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB) yang dijamin oleh kerajaan untuk memperoleh dana daripada bank. Apakah ini juga GLC atau swasta sepenuhnya?
Pelbagai projek mega ini dikatakan oleh Datuk Nazir Razak sebagai pencetus ekonomi besar melalui 12 bidang utama. Oleh kerana projek mega, maka sudah pasti yang terlibat juga syarikat swasta gergasi. Tidak ada masalah!
Cuma apakah pula langkah untuk memastikan keseimbangan peluang ekonomi diberikan kepada syarikat gergasi yang telah lama bertapak dan telah lama membolot habuan, dengan usahawan-usahawan baru untuk memasuki saingan dalam saiz seimbang?
Begitu juga pembangunan hartanah yang begitu besar yang mensasarkan pembinaan begitu banyak bangunan pencakar langit dalam tempoh sembilan tahun akan datang. Keraguan tercetus disebabkan suasana penawaran hartanah seumpama itu pada masa kini pun sedang berdepan dengan kemelut besar yang tidak dapat dijual.
Projek Sentral misalnya sedang berdepan dengan masalah penyewa sehingga memaksa GLC menempatkan pejabat mereka di situ bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Hasrat ETP adalah memajukan rakyat dan negara. Mungkin juga untuk menandingi daya saingan ekonomi dan pelaburan dunia terutama negara jiran dalam rantau Asia Tenggara. Jika kita ingin bersetuju dengan ETP, kerajaan juga harus bersetuju melaksanakan transformasi pelbagai peringkat yang sepatutnya menjadi penggerak, bukan hanya ETP tetapi juga pencapaian matlamat negara maju.
Antaranya ialah kualiti pembangunan modal insan iaitu dalam pendidikan dan kualiti kemahiran. Maka reformasi pendidikan tinggi juga perlu berubah untuk melahirkan keupayaan dan kemahiran membina negara atas usaha ini. Mutu pendidikan mesti berubah segera dan mengekalkan tenaga pekerja mahir yang semakin berhijrah ke luar negara hingga membawa pengaliran keluar modal kepakaran.
Banyak aspek infrastruktur negara yang menjadi penghalang minat pelaburan dipertingkatkan dan tersenarai dalam ETP. Contoh jelas ialah soal pengaliran trafik jalan raya yang masih sesak yang merugikan masa perjalanan dan pergerakan pengangkutan niaga.
Begitu juga kemudahan awam seperti pasar-pasar borong, gerai-gerai makan di bandar raya seperti Kuala Lumpur yang masih menjijikkan. Malah kerenah birokrasi yang masih belum benar-benar mengalami transformasi untuk menyokong usaha menarik pelaburan swasta jika ETP hendak dilaksanakan.
Tanpa memperkecilkan ETP, mesej yang hendak kita sampaikan ialah transformasi yang seimbang antara ETP dan kesediaan rakyat dan negara mencapai misi tersebut. Kuncinya ialah keseimbangan transformasi secara total untuk menghasilkan kemajuan yang berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Dalam erti kata lain ialah perlunya melibatkan transformasi institusi juga.
Apakah pelaburan RM1.4 trilion ini akan membawa keajaiban baru dalam masa 10 tahun akan datang? Mungkin tidak mustahil jika ETP digerakkan dengan penuh cermat, tegas, berhati-hati dan berhemah. Jika tidak, gagasan ini bertukar menjadi gimik dan bahan lawak rakyat hingga memberi kesan serius kepada perubahan landskap politik negara. Harapan kita ialah melihat kejayaan supaya ETP benar-benar satu transformasi ekonomi dan bukannya strategi ekonomi yang tidak ubah seperti pakej rangsangan ekonomi.

Apa pendapat anda dengan komen Dato Salleh Majid ni?
Beliau bukan calang-calang tokoh   dan mempunyai kredibiliti untuk menyatakan pandangan tentang ETP.
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Jumpa lagi

25.9.10

MELAYU BAKAL HILANG KUASA! BETUL KE?


Hari ini sabtu 25 September 2010.

Masih beraya. Kebanyakan sekolah mengadakan sekolah/kelas ganti bagi menggantikan cuti raya yang telah diambil baru-baru ini. Akhbar hari ini memaparkan macam-macam isu. Bonus kakitangan awam, kes bunuh jutawan kosmetik (anda dilarang mengulas kerana masih dalam siasatan dan biarlah PDRM menjalankan tugas mereka), isu transformasi ekonomi, persidangan modal teroka islam dan pelbagai lagi isu-isu menarik yang perlu anda baca.

Satu isu yang menarik perhatian saya di pagi sabtu ini ialah isu MELAYU BAKAL HILANG KUASA JIKA PEMBANGKANG MEMERINTAH -pandangan Tun Mahathir. Utusan Malaysia Online menyiarkan satu rencana tulisan Azman Anuar tentang isu melayu ini dari kacamata mantan PM -Tun Mahathir serta sikap MB Kelantan yang dikatakan tidak berbangga menjadi Melayu.Sebahagian dari para pembaca mungkin beranggapan ini hanyalah isu politik kepartian yang ditimbulkan bagi meningkatkan sokongan  bagi meneruskan kelangsungan parti masing-masing agar nampak lebih relevan antara satu sama lain.Ada juga yang bersikap tidak campurtangan dan tak kisah bila isu Melayu bakal hilang kuasa diutarakan oleh bekas PM kita.

Bagi saya isu kuasa perlu diperbincangkan dengan serius kerana kuasa ini tidak boleh dijual beli, tiada dijual di mana-mana dan jika melayu hilang kuasa anda sendiri boleh membayangkannya kerana jika ulasan berlebihan di sini saya khuatir akan dilabel sebagai rasis. Jadi untuk renungan semua saya paste kan di bawah ini rencana dari Utusan Online untuk sama-sama kita fikirkan dan bincangkan kerana isu hilang kuasa bukan isu main-main.Mungkin sambil beraya dan berkunjung di rumah-rumah terbuka isu ini boleh dijadikan bahan perbualan, pembuka bicara selain kita berbincang tentang kuih semperit,almond london, kerongsang raya  dan tudung baru lagi sedondon dengan baju raya yang berwarna warni macam air batu campur.

Jom baca:-


PRU-13 semakin hampir, Melayu masih belum sedar



CUKUP menarik kalau kita ‘membaca’ pemikiran dua tokoh – Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang Melayu pada masa kini.
Terbaharu Dr. Mahathir melontarkan pandangan mengenai Melayu bakal hilang kuasa jika pembangkang memerintah negara ini.
Sebagai anak jati Kelantan, Datuk Nik Aziz pula berkata, beliau tidak berbangga pun jadi Melayu!
Kenyataan Dr. Mahathir mengenai Melayu hilang kuasa itu diselar oleh beberapa pemimpin Melayu dalam PKR dan Pas. Mereka mendakwa mantan Perdana Menteri itu terus menerus meniupkan api perkauman.
Sebenarnya sebagai orang yang dianggap ultra Melayu, nasihat Dr. Mahathir tidak sepatutnya dikaitkan dengan unsur perkauman kerana kenyataan itu ditujukan kepada orang Melayu berdasarkan situasi sebenar apabila kuasa politik dipegang oleh DAP seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Malahan kebimbangan beliau itu pun bukan lagi setakat pada perasaannya sahaja tetapi ia benar-benar telah berlaku di negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang.
Contoh yang diberikan oleh Dr. Mahathir sudah terjadi di depan mata kita. Beberapa pemimpin Melayu dijadikan boneka untuk menampakkan seolah-olah bangsa kita yang berkuasa. Hakikatnya, situasi itu cukup menyedihkan dan menyakitkan hati.
Jika ditakdirkan pakatan pembangkang menguasai Kerajaan Pusat, mungkin jawatan Perdana Menteri diberi kepada kalangan pemimpin Pas atau PKR.
Pun begitu, mereka hanya sebagai boneka sahaja kerana kuasa sebenar adalah di tangan DAP. Malah kita tidak terkejut jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pula akan dipegang oleh DAP.
Berdasarkan pengamatan pemerhati politik, peluang Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sukar dijangkakan jika dilihat suasana yang belum menggalakkan dalam komponen BN.
Ada parti komponen BN sudah tidak menampakkan semangat berjuang dan ada pula yang asyik mementingkan kaum sendiri daripada berjuang membantu kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.
Situasi bertambah sukar jika perpaduan Melayu masih gagal disatukan. Dr. Mahathir sudah banyak menyuarakan tentang pentingnya perpaduan antara orang Melayu.
Tetapi sesetengah pihak Melayu sendiri memandang remeh hinggakan kaum lain hilang rasa hormat kepada orang Melayu dan agama Islam.
Sebab itu, orang Melayu yang insaf akan pentingnya maruah bangsa Melayu mengharapkan Nik Aziz dapat memandu orang Melayu ke arah perpaduan. Tetapi, harapan itu semakin pudar apabila Nik Aziz sendiri tidak berbangga menjadi Melayu.
Jika Tok Guru mendakwa tidak berbangga dengan ‘Melayunya’, apa lagi yang ada pada beliau? Tak mungkin beliau tak tahu bahawa para Nabi dan Rasul pun dipilih di kalangan bangsa tertentu. Takkan beliau minta dilahirkan sebagai orang Arab? Ini takkan berlaku kerana Tuhan sudah takdirkan beliau sebagai orang Melayu. Beliau patut bersyukur.
Sebagai insan Melayu, Nik Aziz juga ada peranannya yang tersendiri kepada orang Melayu selain perjuangan untuk agama Islam.
Tetapi, perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas pula dihat sudah ‘melencong’ daripada perjuangan asal.
Banyak yang sudah kita baca, perjuangan Pas yang asalnya untuk menegakkan hukum Islam kini beralih kepada membela bangsa lain selari dengan perjuangan rakan kongsinya, DAP.
Perjuangan hukum hudud sudah tidak kedengaran lagi. Pas kini bagaikan menyokong tanpa berbelah bahagi apa yang dilakukan oleh DAP dalam menentang Melayu dan negara Islam yang ingin diperjuangankan Pas sendiri.
Kalau tindak-tanduk DAP itu disokong oleh Nik Aziz, maka bukan peliklah apabila beliau mengatakan tidak berbangga menjadi orang Melayu.
Malahan jika Nik Aziz benar-benar mengikut perintah Allah, pasti larangan Allah diketepikannya. Tetapi kenapa beliau sendiri yang mengkafirkan orang Islam yang lain?
Kenapa beliau mencarut? Kenapa menghalalkan wanita bukan Muslim masuk ke rumah Allah, sedangkan wanita Islam yang berhadas besar pun diharamkan berada di perkarangan surau atau masjid?
Kita berdoa agar Nik Aziz kembali sedar akan ‘keterlanjurannya’ demi menyatukan umat Melayu dan Islam negara ini.
Usaha menyatukan Melayu masih disuarakan oleh orang Melayu yang sedar hakikat perpaduan. Tetapi, sayangnya ia masih lagi di tahap bertatih, sedangkan masa semakin hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-13.
Kepada pemimpin parti dan ahli politik Melayu, ingat-ingatlah nasib dan masa depan anak bangsa yang tidak memihak pada mana-mana parti politik dan belum layak untuk menjadi pengundi.
Jangan korbankan masa depan mereka kerana tamakkan kuasa. Jika bangsa bukan Melayu mementingkan survival bangsa mereka di negara ini tanpa mengira parti politik, kenapa tidak orang Melayu? Bersatulah!

Apa lagi orang melayu ,bersatulah cepat.
Pemimpin-pemimpin di atas tu cepat-cepat duduk semeja.
Jangan tuduh menuduh.
Rakyat berpecah jika pemimpin bertelagah.
Bersatulah, Sekarang bukan Esok Esok.Masa Tidak Menanti Kita.

Seniman Dato Jins Shamsuddin pernah menjodolkan beberapa filem tentang ESOK:-
JANGAN MENANTI HARI ESOK
MUNGKIN TIADA ESOK BAGIMU
Kalaulah ESOK MASIH ADA
Tapi kita tidak pasti ESOK UNTUK SIAPA.

Jumpa lagi
abangms

20.9.10

KEMBALI KE SEKOLAH, BEKERJA DAN BERNIAGA

Hari ini isnin 20 Sept 2010.Cuti raya dah habis semalam.Semua dah kembali kerumah masing-masing dari kampung, pekan dan bandar. Anak-anak mula memenuhi kawasan sekolah yang telah bermingu minggu di tinggalkan.Bas sekolah mula sibuk di jalan jalan dan lorong-lorong ke kawasan sekolah. Pejabat-pejabat mula dihadiri oleh ramai pekerja. Kedai-kedai mula dibuka semula. Kedai-kedai makan dan warung-warung mula meriah di awal pagi. Persekitaran kehidupan kita telah kembali normal. Macam dulu-dulu sebelum ramadhan.
Tapi petang tadi sewaktu turun dari pejabat untuk pulang ke rumah saya termenung sejenak ke satu sudut. Saya mula merinduinya.Mula terasa kehilangannya........iaitu Bazar Ramadhan.......Setahun lagi baru kita dapat berjumpa semula dengan suasana Bazar Ramadhan yang unik itu.Lama.Semoga dipanjangkan umur kita untuk bertemu ramadhan yang akan datang.

Cuti raya dah habis.Duit kita pun turut habis kerana raya sakan.Motor dan kereta kita ada yang mula rosak sana sini kerana penat mengangkut kita semua beraya.Workshop kereta mula dipenuhi pelbagai kenderaan dari keluaran tempatan hinggalah yang diimport. Baru ,lama semua ada. Banyak sungguh kereta orang kita di workshop-workshop yang bukan milik orang kita.
Klinik-klinik mula penuh sesak dengan pesakit dari kanak-kanak hingga warga emas.Mungkin mereka terlebih makan kuih raya dan minum air gas berais.Air batu kata orang dulu-dulu. Doktor-doktor klinik swasta semakin sibuk kerana bisnes semakin maju.Klinikorang kita semakin banyak.Baguslah tu.Semoga anda semua memberi sokongan kepada para doktor kita.
Rakan-rakan FB saya mula post foto-foto raya di FB masing-masing. Macam macam gaya ada.Ada berpakaian sedondon dan ada juga yang warna campur-campur.Warna-warna Malaysia gitu.Hampir setiap tahun saya akan menempah sepasang baju melayu untuk berhari raya.Saya amat selesa berbaju melayu dan meminatinya kerana ia adalah antara warisan orang melayu dari zaman berzaman sebagaimana selipar jepun iaitu satu-satunya warisan peninggalan orang jepun yang masih ada hingga kini di sini.Yang pasti upah tempahan baju melayu saban tahun semakin naik begitu juga dengan harga selipar jepun yang pelbagai rupa  dan warna ketika ini.Semua barang naik.Perut kita juga mungkin semakin naik selepas raya ni.

Keluarga sebelah mertua saya di Pantai Timur telah tidak beraya lgi kerana di sana hari raya aidilfitri disambut hanya beberapa hari sahaja.Berbeza dengan di tempat saya  di Johor di mana aidilfitri di rayakan selama sebulan..... hingga ada yang terbabas. Maklumlah puasa sebulan raya pun kenalah sebulan.Tambahan pula bagi yang berpuasa enam.Kenalah tambah raya enam hari lagi jadi 36 hari.
Di Johor selepas ini akan diwarnai dengan rumah-rumah terbuka.... marhaban...dari Yang Berhormat hinggalah yang tak tahu hormat semuanya akan mengadakan rumah terbuka.
Itulah hari raya. Hari merayakan kemenangan kita berpuasa...
Apapun anda semua perlu berhati-hati kerana selepas berakhir ramadhan syaitan-syaitan yang terkurung mula terlepas.....Awas!......


17.9.10

SMS RAYA 2010: ADA PANTUN ADA SELOKA

Selamat Hari Raya
Salam Aidil Fitri
Salam Lebaran
Salam Syawal

Hari ini 08 Syawal, semua sibuk beraya sana sini menjengah saudara mara, kawan lama, jiran lama dan segala macam kenalan.Ramai masih bercuti raya sebab cuti sekolah kebanyakkannya di sambung seminggu lagi selepas raya hingga ahad ini kecuali beberapa negeri yang cuti mingguan pada hari jumaat.Saya baru pulang dari kampung mertua nun jauh di pantai timur.Lama tak jengok blog ni dan hari ni baru ada masa dan mood nak update blog. Seperti tahun-tahun sebelumya cerita dan berita berita  musim raya masih cerita lama, cerita selalu kita dengar...jalan jem,kunjung mengunjung,bakar lemang, masak ketupat,rendang, mercun bunga api, kuih tunjuk, air gas, baju baru, songkok raya,duit raya,kemalangan jalanraya,puasa enam,kad raya, SMS raya....Ada juga kisah anak merajuk tak pulang beraya di pangkuan ayah bonda. Semoga rajuk rajuk tu akan hilang dan anak-anak pulang di penghujung syawal nanti...Sesungguhnya syurga itu di telapak kaki ibu...pulanglah  di hari raya (seperti senikata sebuah lagu raya popular).
Sepanjang seminggu beraya sekejap-sekejap handphone saya berbunyi sebab ada mesej baru nak masuk...mesej ucapan raya. Bermula dari petang sebelum raya sehingga semalam beratus mesej ucapan raya menghujani peti mesej telefon bimbit saya berjenama jepun (walaupun mungkin buatan china). Hari ini tiada lagi mesej raya diterima.Mungkin kredit dah habis....
Mesej ucapan raya ada yang datangnya dari kenalan, pelanggan, kawan-kawan lama,ahli keluarga dan mungkin juga ada mesej yang tersesat kerana no telefon pengirim tiada dalam simpanan..apapun segala mesej telah saya balas.Nak memudahkan membalas saya telah mereka cipta template khas ucapan raya...walaupun ayat-ayatnya kurang puitis tapi mudah difahami oleh semua peringkat umur tua muda miskin kaya.

Dari beratus mesej ucapan raya saya nak berkongsi dengan para pembaca semua beberapa ucapan SMS raya yang saya pilih untuk koleksi kita semua...macam-macam pantu seloka dan ayat ayat raya ada ..
jom tengok SMS-SMS ni:-

Pertama
Setelah ramadhan berlalu pergi
Setelah aidilfitri mendatang
Sebelum SMS pending melulu
Sebelum kredit kehabisan
Dari hati yang tulus ikhlas saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri
Maaf zahir batin

Kedua
Titisan Hujan DiPagi Aidilfitri,
Syahdu Hati Dihari Lebaran,
Salah & Silap Harap Di Maafi,
Muga Hubungan Terus Berkekalan

Ke 3
Tutur Kadang Kadang tak terjaga
Janji kadang kadang terabai
Hati kadang kadang berprasangka
Sikap kadang kadang menjengkelkan
Hidup ini menjadi indah jika ada rasa memaafi
Selamat Hari raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Ke 4 (SMS ini dihantar oleh sebuah bank tempatan)
Pergi ke pasar membeli bawal
Membeli bawal bersama bapa
Sambil menikmati keindahan syawal
Bayaran kereta jangan dilupa
Ke 5
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi
Dalam ketinggian budi ada keterlanjuran kata
Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa
Dalam kekayaan jiwa ada kesilapan dilakukan
Dalam penyudah ramadhan ada penyeri syawal
Dalam serinya syawal maaf ku pohonkan

Ke 6
Katak kenyang lalu tertidur
Gajah pitam tak bangun sahur
Andai tak sampai tangan menghulur
Kupohon keampunan dari jauh

Ke 7
Slamat raya wak!

Ke 8
Poooonn!!
Poooonn!!
Tepi-tepi..!!
Kenderaan berat nak lalu
Nak hantar kontena ucapan khas
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN

Ke 9
Tangan kuhulur tak kesampaian
Senyum kuukir tak kelihatan
SMS kukirim tanda ingatan
di aidilfitri kita bermaafan

Ke10
Nyimpen jenang nag jero tin
Arek digowo mareng suro
keluputan kulo lahir batin
salah silap njalok ngapuro

Ha macamana?
Ok tak pantun-pantun  raya di atas tu
Anda ada pantun raya yang canggih canggih
Hantar kepada  saya untuk kita kongsi di sini.

Jumpa lagi
Teruskan kunjungan raya anda

Beringat-ringat ketika menjamu selera di musim raya
Kurangkan gula dalam minuman
Lebihkan manis dalam senyuman






12.9.10

HARI RAYA SANA SINI

Ketupat (Semakin Kurang)
Banyak Ketupat Segera

Coklat Raya

Air Berkarbonat (Air Gas)
Minuman Hidangan Raya Masakini



Kuih Raya
Kuih Tunjuk

9.9.10

SEMOGA BERSATU DI PAGI RAYA

Apakahabar semua.
Apakhabar Malaysia,

Sihat dan selamat hendaknya.
Selamat membeli belah di masa-masa kecederaan sebelum raya dan selamat sampai pulang beraya ke destinasi masing masing...,mungkin pulang ke kampung dan ada juga yang pulang ke bandar beraya di kota kota dan ibukota.

Hari ini hari terakhir kita bersama ramadhan 1431H.Esok 1 syawal semua umat islam di Malaysia menyambut hari raya tanpa ragu-ragu atau was was kerana malam tadi penyimpan mohor besar telah mengumumkan tarikh hari raya pada jumaat 10 September 2010. Akhbar hari ini menyiarkan ada golongan yang menyambut hari raya lebih awal di Perlis dan telah dikenakan tindakan. Di TV dan akhbar juga sebelum ini kita diingatkan jangan percaya pada khabar angin yang menyatakan hari raya akan jatuh pada hari khamis 09 September 2010.

Kadang-kadang saya bingung memikirkan tentang kesepakatan umat islam pada hari ini. Kita melihat dalam skop Malaysia di mana umat islam menghadap kiblat yang sama ketika sembahyang ,melihat anak bulan,bulan dan matahari yang sama tetapi kita gagal bersepakat dalam penentuan tarikh menyambut hari raya. Seolah-olah pemikiran kita ini belum Merdeka walaupun kita baru saja menyambut kemerdekaan ke 53 baru-baru ini.Segala perkara perlu dipantau. Disuruh dan dimarahi.Tiada kesepakatan dalam banyak perkara.Ini baru soal penentuan tarikh hari raya. Bagaimana kita ingin bercakap soal kesepakatan dan perpaduan umat islam dan masa depan melayu dalam isu-isu ekonomi, politik, keselamatan, pertahanan dll? Sememangnya kesepakatan dan perpaduan ke atas sesuatu isu itu amat sukar dicapai samada dalam organisasi kecil hinggalah yang besar.Perpaduam dalam keluarga dalam isu pengagihan harta pusaka contohnya sering menemui jalan buntu.Perpaduan sesama kakitangan di sesebuah syarikat jarang-jarang terjalin.Perpaduan di dalam sesebuah parti politik agak sukar di capai. Perpaduan sesama umat islam  masih dalam angan-angan. Belum tercapai lagi.Samada di peringkat nasional apatah lagi di pentas global. Oleh sebab itu umat islam hari ini kelihatan lemah. Lemah bukan kerana musuh islam terlalu kuat tetapi umat islam tiada kesepakatan.
Bilangan umat islam cukup besar.Tetapi kenapa lemah.Tiada kesepakatan.Umpama sebatang lidi tidak dapat berperanan selain sekadar menjadi pencucuk sate dan akan dibuang setelah sate selesai dimakan.Walau bagaimanapun sekumpulan lidi yang besar bilangannya jika dapat dipadukan dan diikat ianya akan menjadi penyapu yang pelbagai guna.Boleh menyapu apa saja samada di dalam rumah mahupun di luar rumah.Di peringkat nasional maupun di pentas global.Oleh itu perpaduan adalah segala-galanya.
Semoga aidilfitri kali ini kita bersalam-salaman serta bermaaf-maafan sesama umat islam dengan penuh keinsafan dan kesepakatan. Buang yang keruh ambil yang jernih. Apa ertinya perbalahan jika yang menang jadi abu dan yang kalah jadi arang. Jangan menang sorak kampung tergadai.Jadikan aidilfitri kali ini sebagai titik permulaan perpaduan umat islam.Saya selalu menantikan pemimpin-pemimpin kita duduk semeja di aidilfitri bermaaf-maafan dan merintis jalan perpaduan.Mungkin kali ini pemimpin-pemimpin kita dari UMNO, PAS, PKR, PERKASA dll dapat beraya bersama,makan minum bersama,bermaaf-maafan demi kelangsungan umat islam, melayu di Malaysia tercinta ini. Sesungguhnya perpaduan adalah kunci kekuatan.Perpaduan kunci kejayaan.Rakyat menantikan perpaduan pemimpin-pemimpin islam dari pelbagai anutan politik keran rakyat adalah pengikut kepada pemimipin.Rakyat sememangnya minta didahulukan dalam pelbagai isu.
Rakyat terus berpecah jika pemimpin asyik bertelagah.
Lupakanlah sengketa lama kerana esok hari kita akan bersolat aidilfitri menghadap kiblat yang sama, allah yang satu.RAPATKAN SAF DI HADAPAN.

Kepada semua rakyat malaysia, rakan-rakan lama dan baru, rakan-rakan Facebook.
 Saya merapatkan tangan dan menyusun sepuloh jari memohon kemaafan
 jika ada terkasar bahasa, keterlanjuran bicara,keterlaluan cara 
dalam penulisan artikel-artikel di blog ini sejak ia mula diterbitkan.

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN


abangms
Terengganu DarulIman




5.9.10

SHOPPING RAYA: BENARKAH WANITA SUKA BERBELANJA

Apakhabar semua? Ceria, cerlang sentiasa.
Jom shopping...ajak anak saya selepas bersahur...



Nak shopping kat mana...JB...Mid Valley..Mega Mall...Mydin..Bazar Raya Kota Tinggi...Bazar Baitulmal Muar...Pasar Payang Terengganu...Jusco Melaka...hai banyak sungguh tempat nak pergi hari ni...

Pagi-pagi saya membawa keluarga ke destinasi yang diidam-idamkan iaitu salah satu dari destinasi di atas tadi.
Seperti yang dijangka hari ini sibuk sekali orang kita membeli belah di seluruh pelusuk tanah air.Kecil besar tua muda miskin kaya semua ada di tempat tempat yang boleh mereka membeli belah.Tinjauan saya sekeluarga yang turut menyibuk di kesesakan itu mendapati majoriti pengunjung adalah kaum wanita.Dari anak-anak gadis sehinggalah makcik-makcik semua teruja sungguh untuk berbelanja sakan sebelum raya.

Kaum lelaki tak ada ke? Ada.
Tapi mereka dilihat duduk berehat di dalam kereta atau di tempat-tempat duduk berhampiran kedai.Ada yang menjaga anak anak kecil sambil isterinya sibuk memilih fesyen terkini.Ada juga yang menemani pasangan masing-masing sebagai tempat rujukan samada fesyen pilihan isteri atau kekasihnya cantik,sesuai atau kureng.Ada juga yang berperanan sebagai banker iaitu tukang beri duit untuk membayar jumlah belian yang dipilih tadi. Apapun lelaki masih ada di kesibukan itu walaupun bukan sebagai pembeli belah utama termasuklah saya yang ke sana-sini mencari idea untuk dimuatkan di blog ini.Meninjau-ninjau tengok tengok kalau kalau ada yang luar biasa di jual di situ. Isteri dan anak gadis saya telah hilang dalam kesesakan pembeli belah dan penjual fesyen.

Beg Shopping 2010

Sejam berlalu. Ya makin lama makin sesak.Polis trafik terpaksa memantau lalu lintas.Entah berapa banyak saman yang dikeluarkan hari ini.Apapun itu semua tidak menjejaskan semangat bershopping kaum-kaum hawa di sini.

Wanita suka sangat berbelanja lebih-lebih lagi membeli benda-benda berkaitan fesyen. Dari baju kurung, baju tidak dikurung, tudung, kerongsang, kain batik, kain binti-bintik,l angsir, alas meja,bunga palsu,tikar buluh made in china dan 1001 benda lagi yang tak tersurat di sini.

Saya melihat kecenderungan wanita kita suka berbelanja bukan sengaja mereka ingin membazir. Sesungguhnya wanita itu suka pada kecantikan, keindahan,warna warni,ceria.Lihat sajalah pakaian yang dijual di pasaran hari ini. Zaman dulu .....tudung... warna dan coraknya biasa-biasa aje.  Kini pelbagai fesyen tudung ada dijual dari tudung ikin,  siti nurhaliza, wardina, qalisha, tudung express dan macam-macam lagi...Warnanya amat mengancam sekali dan batu batu berlian tiruannya membuat golongan wanita sangat teruja.Anda mungkin setuju jika saya nyatakan bahawa di setiap rumah di Malaysia kini setiap almari isteri dan anak gadis kita ada tersimpan satu dozen tudung pelbagai aneka corak dan warna.Meriah warnanya.Mungkin juga 2 atau 3 atau 4 dozen...
Sebab itu anda semua tidak perlu berasa hairan jika di internet  portal dan blog blog menjual tudung telah tumbuh bagai cendawan tiram kerana permintaannya sangat tinggi.Seorang kenalan saya di KL pun turut mempunyai sebuah blog menjual tudung.
Seorang guru pakar di sebuah sekolah menengah memberitahu saya bahawa  wanita gemar bertukar fesyen dan membeli belah kerana menganggap memakai pakaian baru boleh membangkitkan semangat baru.Kalau rasa berat punggung untuk ke pejabat pada pagi isnin eloklah berpakaian serba baru dengan fesyen terkini agar anda rasa lebih bersemangat untuk datang awal dan bekerja, nasihat guru tersebut kepada saya umpama menasihati muridnya di sekolah. Mungkin ada betulnya sebab bila kita berpakaian baru, cara kita berjalan pun akan nampak lain apatah lagi jika pakaian tersebut ada brand dan nampak mahal walaupun mungkin di beli di reject shop. Itu namanya psikology fesyen.

Para peniaga fesyen tahun ini tersenyum lebar kerana nampaknya tahun ini ramai orang berbelanja sakan lebih dari tahun-tahun lepas. Suasana membeli belah meriah banget kata penjual tudung warga Indon. Mungkin ekonomi dah pulih agaknya. Peniaganya ramai orang kita. Baguslah tu.Meningkatlah penguasaan kek ekonomi oleh orang kita.Tapi bagaimana dengan kilang dan pengimport fesyen-fesyen tadi.Mungkin orang lain. Tak mengapa. Sekurang-kurangnya kini kita boleh berbangga sebab ada JAKEL wakil orang kita dalam dunia perniagaan fesyen.Harap-harap ramai lagi muncul usahawan fesyen di masa depan di kalangan orang kita.

Penat menunggu muncullah isteri dan anak-anak gadis saya bersama beg-beg dan bungkusan-bungkusan plastik dari celah kesesakan..apa agaknya dalam beg mereka...yang pasti lepas ni saya kena beli almari baru yang lebih besar..........

Wanita suka berbelanja!  Anda Setuju?

Kuasa membeli di tangan anda

Selamat berfesyen baru buat wanita malaysia......
Pastikan anda menutup aurat.


4.9.10

SIBUKNYA BELI BELAH NAK SAMBUT RAYA

Hari ni 25 ramadhan.Minggu ini merupakan minggu terakhir ramadhan 1431. Suasana sekitar kita dah mula berubah. Sibuk. Sana sini sibuk.Semua tempat sibuk. Bandaraya, ibukota, bandar kecil, pekan, kampung, hutan semua sibuk.Sibuk nak raya.
Orang kita sibuk membeli belah sebagai persiapan terakhir untuk raya. Tahun ni ramai berbelanja sakan sebab kakitangan awam dapat RM 500 duit raya, peneroka felda pun dapat duit raya . Wah penuh sesak gedung-gedung beli belah yang kebanyakkannya bukan milik orang kita. Kita asyik membeli di gedung mereka.Apa nak buat  orang kita belum ramai yang ada gedung membeli belah. Merekalah yang mengaut keuntungan setiap kali kita menyambut raya. Dari dulu dulu lagi dah macam tu.

Bilakah agaknya orang kita nak ada gedung membeli belah yang boleh diketengahkan.Yang menjadi sebutan dan siulan para pembeli belah. Sampai bila orang kita nak niaga di tepi-tepi jalan, bazar-bazar dan pasar pasar malam.Orang kita kini dah ramai yang pandai membuat pelbagai produk hasil bimbingan pelbagai agensi kerajaan dan kursus kursus anjuran swasta. Malangnya sukar kita memasarkannya dalam bentuk pukal dan berkuantiti besar, Skala besar kata pakar ekonomi. Kenapa? Sebab orang kita tidak memiliki gedung gedung membeli belah yang menjadi tumpuan ramai. Tempat memasarkan produk produk kita. Zaman sekarang zaman Hypermarket. Kedai runcit dan kedai kaki lima tak mainlah. Orang kita shopping di tempat ada class.Ada brand.Tapi sayang gedung gedung itu bukan milik orang kita. Sebab itu kita jangan mengeluh jika orang kita tak kaya-kaya tapi orang lain terus menerus kaya raya.Kita membeli mereka menjual memanglah mereka yang kaya kita merana! Mungkin ada orang kita berniaga butik, kedai pakaian dan macam-macam lagi tapi kebanyakkannya terletak di gedung orang lain.Sewanya pasti luar biasa dan enggak mampu di bayar pak, kata peniaga Indon.Akhirnya peniaga kita gulong tikar dan terpaksa melupakan dunia perniagaan.

Hari ini juga cuti penggal persekolahan telah bermula. Cikgu-cikgu dah rehat dan siap-siap nak balik kampung. Bagi yang suami isteri bekerja sebagai  cikgu pastinya pulang awal ke kampung untuk mengelakkan traffic jam.

Esok hari ahad terakhir sebelum raya. Jalanraya dan gedung beli belah pasti sibuk lagi.Ramai yang belum selesai shopping.Saya mungkin turut berada disebalik kesesakan itu untuk menemani isteri dan anak gadis yang masih belum puas memilih tudung dan kerongsang raya agar sedondon dengan baju kurung mereka. Apapun  hajat mereka saya selalu berpesan agar mereka membeli belah di kedai orang kita agar ekonomi orang kita dapat terus hidup.Tindakan dan sikap sebegini amat perlu kerana kita telah jauh ketinggalan dalam penguasaan kek ekonomi negara ini. Sumbangan kita membantu peniaga-peniaga kita lebih bermakna dari kita berhujah dan mendabik dada sebagai pejuang bangsa tetapi suka membeli belah di kedai orang lain apatah lagi shopping di luar negara yang mengalirkan wang kita ke sana.

Selamat membeli belah makcik-makcik, kakak,adik,abang, mak long, pak long, wak wak...selamat bershopping raya...pastikan kedai orang kita...

Ukur baju di padan sendiri.............